KUALA LUMPUR : Berada di kedudukan yang lebih strategik dalam menyokong pelanggan di
rantau Asia Tenggara, Eskayvie kini menjadi antara peneraju jenama berkualiti dalam industri kesihatan.
Pengarah Urusan Eskayvie, Kartika Wati Mohamed berkata, pihaknya berbangga melihat perjalanan transformasi Eskayvie untuk menjadi jenama global yang terus relevan, inovatif dan dipercayai, selaras dengan visi memperkasakan ekonomi dan kesihatan ummah.
“Selepas lebih 15 tahun dalam industri kesihatan, transformasi ini adalah langkah strategik untuk memastikan Eskayvie terus relevan.
“Kami berhasrat untuk menjadi jenama global yang bukan sahaja menghasilkan produk berkualiti tinggi tetapi juga memberi nilai kepada pelanggan melalui inovasi, sains dan teknologi terkini,” katanya sempena majlis Eskayvie Grand Annual Dinner 2025 bertempat di Hotel Intercontinental, baru-baru ini.
Majlis bertemakan The Next Chapter: Honouring the Past, Transforming the Future itu turut menyaksikan pelancaran kempen Booster Minda- Inspirasi Generasi Masa Hadapan.
Selain itu, Kartika berkata, inisiatif ini penting kerana ia bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai isu malnutrisi di kalangan kanak-kanak Malaysia.
“Di Eskayvie, kami amat menitikberatkan kesihatan holistik masyarakat, khususnya daripada peringkat awal kanak-kanak.
“Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2022 menunjukkan 21.2% kanak-kanak mengalami masalah bantut (stunting), 46.5% kanak-kanak mengalami anemia, 15.3% kanak-kanak berada di bawah berat badan normal (underweight) dan 6% kanak-kanak adalah obes, meningkat kepada 14.3% pada usia
remaja.
“Masalah malnutrisi bukan sahaja menjejaskan tumbesaran fizikal tetapi turut memberi kesan besar kepada perkembangan otak. Ia termasuk kekurangan oksigen ke otak yang menghalang fungsi optimum seperti pembelajaran, ingatan dan perhatian. Penurunan neurotransmitter pula boleh menyebabkan masalah kognitif, tingkah laku dan kelesuan mental,” katanya.
Jelas Kartika lagi, selain itu, gangguan myelinasi melambatkan pemprosesan maklumat serta kemampuan kanak-kanak untuk memahami dan berkomunikasi.
“Masalah malnutrisi ini amat kritikal kerana ia memberi kesan langsung kepada potensi generasi masa hadapan. Melalui kempen ini, kami ingin memberi kesedaran kepada ibu bapa dan komuniti tentang pentingnya nutrisi lengkap untuk anak-anak agar mereka dapat berkembang secara optimum,”katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Eskayvie, Dr. Syid Ayob Syid Mustafa Al-Qudri pula berkata, sepanjang tahun lalu, pihaknya mencatat pencapaian luar biasa dengan mengukuhkan komitmen terhadap ESG (Environmental, Social, Governance).
“Kami amat bersyukur apabila Eskayvie diiktiraf oleh SIRIM sebagai salah satu daripada enam
organisasi utama yang komited terhadap amalan lestari.
“Dedikasi kami terhadap tanggungjawab sosial turut terbukti melalui Yayasan Eskayvie yang telah menyumbang jutaan ringgit kepada golongan yang memerlukan, termasuk anak yatim, asnaf, ibu tunggal, gelandangan dan mangsa banjir.
“Kami turut berbangga Eskayvie Nexus menjadi platform yang telah melahirkan lebih 98 orang jutawan sekaligus memperkasakan masyarakat dengan peluang ekonomi yang bermakna.
“Saya hargai usaha gigih intrapreneur serta usahawan Eskayvie Nexus. Bukan sahaja membantu menyebarkan manfaat produk berkualiti tinggi produk kami, tetapi turut menjadi pemangkin kepada pembentukan masa depan kesihatan masyarakat yang lebih unggul,” katanya.










