PETALING JAYA: Kerajaan diminta menyelaras segala usaha penyaluran bantuan pembangunan Gaza bagi mengelakkan pihak tertentu daripada mengambil kesempatan terhadap sikap pemurah rakyat Malaysia
Eksekutif Strategik (Perhubungan Awam) Cinta Gaza Malaysia (CGM), Haikal Zulkefli berkata, ia merupakan langkah berkesan bagi memastikan tiada ketirisan berterusan berlaku.
Kata beliau, pihaknya bimbang dengan sikap pihak tidak bertanggungjawab yang cuba untuk memanipulasi derma rakyat ke Gaza demi keuntungan peribadi.
“Jika kita dapat koordinasikan dengan kerajaan Malaysia maka ia akan lebih baik untuk segala projek yang kita mahu laksana di bumi Gaza.
“Buat masa ini, koordinasi dalam kalangan pihak ketiga masih tidak ada di Malaysia. Bagi NGO yang sudah lama dan berpengalaman di Gaza, memang kita memerlukan koordinasi serta kerjasama antara kerajaan bersama NGO,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Haikal berkata, terdapat pihak dan individu tertentu dilihat cuba untuk mengambil kesempatan terhadap ihsan rakyat Malaysia yang mahu melihat Gaza dibangunkan semula selepas hampir musnah akibat rejim Zionis sejak Oktober 2023.
Katanya, mereka yang tidak bertanggungjawab itu sanggup memanipulasi derma rakyat ke Gaza demi keuntungan peribadi.
Justeru itu mereka yang ingin menderma bagi membantu gerak kerja dan usaha membangunkan semula Gaza perlu menyemak latar belakang penerima bagi mengelak daripada ditipu.
“Apa yang berlaku ketika ini, badan-badan yang tidak berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) menggunakan nama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang sah untuk mengaut keuntungan.
“Jadi untuk yang baik hati menyumbang kepada projek kemanusiaan di Gaza, kita harap mereka menyemak terlebih dahulu bagi melihat keupayaan dan kapasiti NGO tersebut,” katanya.
Jelasnya, CGM sentiasa mengeluarkan laporan mengenai kutipan derma dan projek-projek di Gaza.
“Ini bagi menandakan bahawa kami benar-benar menyampaikan amanah yang diberikan kepada kami,” katanya. – UTUSAN










