TAPAH: Durian kampung dari Langkap dekat sini mempunyai pelbagai warna seperti kuning pekat, cair malah ada yang berwarna putih selain gabungan rasa manis dan pahit setanding dengan raja buah menjadikannya premium seperti Musang King serta Duri Hitam.
Seorang peniaga durian berhampiran Masjid Jamek Air Kuning, Air Kuning di sini, Normadiah Mohd. Zaki, 38, berkata, durian dari kawasan pekan yang terkenal dengan kawasan sawah itu menjadi pilihan pelanggan pada musim durian.
Katanya, kebanyakan pembeli merangkumi pelbagai kaum seperti Melayu dan India sejak mula berniaga durian kampung itu sejak tujuh tahun lalu.
“Ramai mengatakan durian Langkap mempunyai banyak varieti iaitu warnanya kuning pekat, cair dan berwarna putih selain gabungan rasa manis dan pahit menyebabkan ia menjadi buruan setiap kaki musim raja buah itu tiba.
“Harganya mengikut gred bermula RM6 hingga RM15 sekilogram (kg). Saya tidak akan menjual buah yang rosak teruk dan merekah kerana tidak ingin menipu pelanggan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Kebanyakan stok durian diperoleh Normadiah daripada pemilik kebun durian sekitar Langkap.
Katanya, bagi menghargai pembeli, dia memberikan raja buah itu secara percuma kepada pelanggan beberapa biji yang rosak ditebuk tupai atau bersaiz kecil.
“Kebanyakan buah diberi percuma ialah buah yang rosak sikit, bersaiz kecil atau telah ditebuk tupai tetapi masih sedap dimakan. Selain itu, sekiranya terdapat lebihan beberapa ratus gram saya halalkan sahaja.
“Saya berniaga tidak lama sekitar tiga hingga empat jam bermula pukul 1 petang hingga 4 petang kebiasaannya sudah habis,” katanya.
Normadiah bersyukur kerana hasil menjual durian menjadi pendapatan sampingan setiap kali musim raja buah itu tiba.
“Ini dapat membantu suami menyara kami sekeluarga selain persediaan kewangan menjelang persekolahan anak dan Hari Raya Aidilfitri tahun depan.
“Pendapatan kasarnya menjual durian boleh mencecah sehingga RM700 sebulan selama empat bulan dalam setahun,” katanya. – UTUSAN











