Kecekalan wanita jaga anak kanser, suami demensia

Kecekalan wanita jaga anak kanser, suami demensia

KAMARIAH Daud (kanan) tidak menyangka anaknya disahkan menghidap kanser paru-paru tahap empat. – UTUSAN/NORHAFIZAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Cukup berat tanggungjawab dipikul seorang ibu dan juga isteri di Kampung Chengal Lempong di sini apabila perlu menjaga anak terlantar kerana kanser paru-paru dan suami penghidap demensia.

Kamariah Daud, 68, berkata, anaknya, Nor Eishaty Rhadiah Khamis, 38, disahkan menghidap kanser paru-paru tahap empat sejak Mac lalu manakala suaminya, Khamis@Abu Bakar Mohd. Nor, 75, diserang strok pada 2016, darah tinggi selain turut demensia dua tahun lalu.

“Anak beritahu sakit bahagian betis dan doktor mengesahkan anak menghidap kanser pada tahap empat.

“Daripada anak yang sihat menguruskan rumah setiap hari, dia kini hanya terlantar kerana tidak lagi mampu ba­ngun akibat sakit bahagian belakang,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Kamariah berkata, Nor Eishaty Rhadiah memilih tidak mendapatkan rawatan kimoterapi dan hanya bergantung kepada ubat-ubatan dibekalkan pihak hospital.

“Cumanya anak saya ini memerlukan bantuan lampin pakai buang dan tisu. Setakat ini, kelengkapan itu disediakan oleh adik-beradiknya yang lain. Suami saya pun memerlukan bantuan lampin pakai buang.

“Namun anak-anak lain hanya bekerja sendiri dan ada antaranya sudah berkeluarga. Ada ketikanya, saya terpaksa meminta bantuan saudara mara untuk membeli lampin pakai buang yang menelan belanja sekitar RM300 sebulan,” kata­nya memberitahu tidak mempunyai sumber pendapatan lain selain bergantung kepada pemberian anak-anak untuk per­belanjaan seharian.

Menurutnya, Nor Eishaty Rhadiah juga memerlukan sumbangan alat bantuan pernafasan kerana sering mengalami kesukaran bernafas.

“Kadang-kadang dia akan berasa sesak nafas. Kalau ada alat bantuan pernafasan itu, dapatlah membantunya bernafas dengan lebih baik,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) milik Nor Eishaty Rhadiah Khamis bernombor 0611441000072714. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN