MELAKA: Nelayan di Jeti Muara Sungai Duyong, Padang Temu di sini yakin dua rakan mereka yang hilang di perairan Pulau Undan sejak Rabu lalu masih hidup dan berkemungkinan telah hanyut hingga ke Pulau Rupat, Indonesia.
Rakan rapat kedua-dua mangsa, Hafiz Hassan, 32, berkata, jika bot mereka karam kerana dilanggar kapal di perairan antarabangsa, ia pasti meninggalkan petunjuk.
Menurutnya, bot karam paling mudah dikesan disebabkan jaring milik mereka pasti timbul disebabkan mempunyai pelampung, selain kesan tumpahan minyak.
“Tetapi setelah empat hari operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan pihak berwajib dari Port Dickson, Negeri Sembilan hingga ke Muar tidak menemui sebarang petunjuk. Saya yakin mereka berdua masih hidup dan mungkin hanyut ke Pulau Rupat.
“Ada nelayan di sini yang turun memukat sepanjang tempoh empat hari di Pulau Undan dan sekitarnya hingga ke perairan antarabangsa juga tidak menemukan petunjuk,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, tekong bot, Muarep Sakem, 63, dan awak-awak, Rosenizam Maharam, 50, tidak pulang ke rumah setelah turun ke laut pada 15 Januari lalu.
Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS) Indonesia memaklumkan gagal mengesan kedua-dua mangsa walaupun analisis Sistem Perancangan Optimum Mencari dan Menyelamat (SAROPS) mengandaikan mereka dipercayai dihanyutkan ke perairan negara jiran.
Pangkalan Hadapan Carilamat yang diaktifkan di Jeti Nelayan Padang Temu telah ditutup malam Ahad lalu.
Tambah Hafiz, tiga hari sebelum kejadian dia ada menemui Rosenizam atau lebih dikenali dengan panggilan ‘Param’ yang baharu sahaja bekerja dengan pemilik bot berkenaan.
“Pada hari Ahad Rosenizam baru mula bekerja dan berjaya meraih tangkapan bernilai RM2,500 diikuti hari kedua dengan hasil tangkapan bernilai RM2,000 serta sehari sebelum kejadian meraih RM600.
“Pada Rabu dia turun ke laut memukat seperti biasa bersama Muarep, itu kali terakhir saya berjumpanya selepas membeli beras 10 kilogram (kg) untuk dibawa ke bot,” ujarnya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Melaka dan Negeri Sembilan, Komander Norrimi Hassan berkata, pencarian telah diakukan dari Port Dickson, Negeri Sembilan hingga ke Muar, Johor.
Katanya, ia meliputi kawasan 1,029 kilometer persegi dan jumlah keluasan sehingga semalam berjumlah 4,357 kilometer persegi. – UTUSAN










