PUTRAJAYA: Kabinet tidak mengarahkan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk memohon perintah larangan bersuara bagi melarang mana-mana pihak membincangkan isu berkaitan Titah Adendum.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil bagaimanapun tidak mengulas lanjut mengenai perkara itu.
Menurutnya, isu berkenaan juga tidak dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof semalam.
“Tidak dibincangkan dan Kabinet tidak mengarahkan AGC,” katanya dalam sidang akhbar pasca mesyuarat Kabinet semalam.
Sebelum ini, Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan dilaporkan berkata, pihak kerajaan akan memfailkan permohonan untuk mahkamah mengeluarkan perintah larangan bersuara berkenaan yang akan difailkan pada 20 Januari ini.
Shamsul memaklumkan, ia adalah untuk melindungi Institusi Diraja kerana perkara itu menyentuh isu sensitif iaitu raja, agama dan kaum (3R).
Bagaimanapun Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dilaporkan berkata, perintah larangan bersuara itu tidak sepatutnya dilakukan dan akan dibincangkan semula di Parlimen ketika bersidang pada bulan depan.
Minggu lalu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mendapat kebenaran Mahkamah Rayuan untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum yang didakwa dikeluarkan Januari tahun lalu.
Keputusan berkenaan dicapai melalui penghakiman majoriti 2-1 oleh Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril, dengan Hakim Datuk Azizah Nawawi memberikan keputusan berbeza pada 6 Januari lalu. – UTUSAN










