KUALA LUMPUR: Isu-isu remeh tidak boleh dibiar melemah dan mengancam kestabilan terutama ketika kerajaan berusaha memacu ekonomi negara dalam suasana yang mencabar tahun ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebaliknya semua pihak termasuk swasta dan perkhidmatan awam perlu meningkatkan usaha dan fokus dalam bidang masing-masing untuk membawa kebaikan dan perubahan bagi seluruh rakyat Malaysia.
Ini kerana kata beliau, Malaysia tidak boleh ketinggalan dalam menerokai dan merungkai bidang baharu seperti rantaian blok (blockchain).
“Sebab itu forum ekonomi seperti ini memberi ruang kepada kita seperti yang saya sering tekankan kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar (untuk) mengingatkan jentera kita supaya fokus mencari helah dan jalan bagi mengangkat kekuatan ekonomi.
“Saya ada sebut hal-hal yang agak baharu untuk diterokai kerana kalau kita ketinggalan, walaupun semi konduktor di Pulau Pinang sudah agak lama tetapi kalau tidak sedia meneroka bidang baharu kita akan ketinggalan.
“Kita juga harus membina kekuatan menyeluruh supaya dapat mengangkat (martabat ekonomi dan negara) kita,” katanya dalam ucapan pada Forum Ekonomi Malaysia (FEM) 2025, di sini, semalam.
Tambah Anwar, sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia tidak akan meminggirkan negara jiran lain dalam meningkatkan taraf ekonomi masing-masing, sebaliknya akan sentiasa mencari jalan untuk menyelesaikan isu-isu rumit termasuk pergolakan di Myanmar.
“Prasyarat utama mengangkat kekuatan ekonomi adalah keamanan, kestabilan politik, dasar jelas… dasar ekonomi yang dapat memacu kekuatan melalui penglibat sektor swasta dan kecekapan sektor awam,” katanya.
Perdana Menteri berkata, pada 2024, Malaysia berjaya mengekang inflasi, mengurangkan pengangguran dan menstabilkan mata wang negara, mencatatkan rekod tertinggi dalam penciptaan pekerjaan dan pasaran saham negara juga berprestasi terbaik di ASEAN.
Menurut beliau, tahun 2025 menyaksikan komitmen Malaysia untuk menjadi negara peneraju pasaran global dalam pelbagai bidang.
Anwar berkata, sekarang merupakan peluang untuk meninjau peluang baharu seperti block chain bagi membina kekuatan menyeluruh dan mengelak daripada ketinggalan, di samping industri semikonduktor yang menjadi antara kekuatan negara.
Katanya, negara justeru itu perlu memperkukuhkan kelebihan geografinya sebagai laluan utama untuk tenaga elektrik, bakat dan kepelbagaian rantaian bekalan.
“Pada masa sama, kami ingin memperhalusi kepakaran dalam bidang minyak dan gas, semikonduktor dan kewangan Islam supaya dapat menjadi peneraju pasaran global dalam sektor tersebut.
“Dasar berkecuali dan keterbukaan kami terhadap kerjasama menjadikan Malaysia hab terbaik untuk semua,” katanya. –UTUSAN











