PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, beliau mempunyai keraguan dengan perjanjian gencatan senjata di Gaza kerana Israel mempunyai potensi untuk melanggari syarat-syarat yang ditetapkan dalam perjanjian tersebut.
Kata beliau, Israel sudah melanggari pelbagai resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, tidak mengendahkan dan menghormati pendapati dunia, jadi sukar untuk dipercayai bahawa negara sama akan menghormati perjanjian gencatan senjata.
“Adakah sesiapa percaya bahawa Israel, yang telah melanggar perjanjian gencatan senjata yang lalu dengan Hizbullah akan memilih untuk mematuhinya kali ini?
“Israel adalah penyangak, bangsa yang suka berperang. Pertengkaran tidak akan membenarkannya untuk menghormati sebarang perjanjian atau undang-undang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beberapa hari lepas, Israel dan Hamas bersetuju melaksanakan gencatan senjata bermula esok untuk menghentikan perang selama 15 bulan di Gaza.
Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman Jassim Al Thani, berkata perjanjian itu akan membawa kepada pembebasan tawanan Israel dan lonjakan bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Difahamkan fasa pertama perjanjian itu akan berlangsung selama 42 hari, melibatkan pembebasan 33 tahanan Israel sebagai pertukaran dengan sejumlah tahanan Palestin yang tidak dinyatakan.
Mengulas lanjut, Dr. Mahathir berkata, Israel bertindak membunuh seramai mungkin rakyat Palestin beberapa hari sebelum gencatan senjata dilakukan.
Katanya, ia menunjukkan sifat kedua Israel iaitu gemar untuk membuat amukan pembunuhan.
“Mereka akan menyalahkan orang lain untuk itu. Maafkan pesimisme saya. Tetapi kegembiraan yang ditunjukkan oleh penduduk Gaza adalah terlalu awal. Saya harap saya silap,” katanya. – UTUSAN










