KUALA LUMPUR: Infinity Logistics & Transport dan Westports Malaysia akan membuat pelaburan sekitar RM1 juta bagi melancarkan makmal penyelidikan mereka, Teater LogTech, di bawah Program Kolaborasi Industri-Akademik mereka, TalentBridge dengan kerjasama Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Malaya (UM).
Pengarah Urusan Infinity Logistics & Transport, Datuk Seri Chan Kong Yew berkata, dua tahun lalu, Infinity datang ke fakulti itu dengan rancangan untuk melaksanakan projek TeleBridge.
“Kami juga mencadangkan penubuhan makmal penyimpanan, yang kini dikenali sebagai Teater LogTech, sebagai ruang pertemuan untuk pelajar dan pendidik.
“Oleh itu, kami (Infinity dan Westport Malaysia) akan melaburkan sekitar RM1 juta bagi projek ini,” katanya semasa sidang media selepas majlis pelancaran makmal itu di sini semalam.
Program itu telah menarik penyertaan daripada enam pemain industri terkenal iaitu MTT Shipping, COSCO Shipping , AYS Group, AFM Fulfilment, Emirates Logistics dan CMA CGM Shipping.
Mengulas lanjut, Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook berkata, kerjasama antara Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan sektor swasta adalah penting dengan mengiktiraf usaha syarikat seperti Infinity Logistics dan Westport Holdings.
“Penglibatan syarikat swasta bukan sahaja membantu dari segi dana tetapi juga memberi pelajar pendedahan praktikal kepada realiti industri,” katanya.
Menurutnya, pelancaran projek Teater LogTech merupakan sebuah inisiatif penting dalam membina masa depan industri logistik dan pengangkutan negara.
“Projek ini bukan sekadar ruang penyelidikan tetapi platform inovasi untuk melatih pelajar dan pekerja dalam teknologi terkini seperti robotik dan
“Logistik juga adalah tulang belakang ekonomi. Ia memastikan barang sampai ke kedai, kilang menerima bahan mentah, dan pengguna mendapatkan apa yang mereka perlukan tepat pada masanya,” katanya.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang pula berkata, MOSTI komited memperkasakan industri melalui penerapan sains dan teknologi.
“Teater Logtech juga bukan sekadar sebuah fasiliti, namun ia adalah ruang untuk inovasi, pembelajaran, dan kolaborasi.
“Dengan memanfaatkan teknologi seperti AI, rantaian blok, dan pelbagai benda (IoT), pusat ini akan melengkapkan pelajar, profesional, dan usahawan dengan kemahiran serta alat untuk menangani cabaran logistik moden,” katanya. – UTUSAN











