Hakisan pantai jejaskan habitat laut, ekonomi tempatan

Hakisan pantai jejaskan habitat laut, ekonomi tempatan

SEBAHAGIAN jalan raya yang runtuh akibat hakisan di Pantai Tanjung, Batu Rakit, Terengganu. -UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Fenomena hakisan pantai berupaya memberi kesan buruk kepada pelbagai kemusnahan ekosistem pantai dan habitat laut secara keseluruhan.

Presiden Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia (Grass Malaysia), Mohd. Yusaimi Md. Yusof berkata, antara kemusnahan berikutan fenomena itu melibatkan peningkatan risiko kehilangan hutan bakau yang menjadi benteng semula jadi terhadap ombak laut.

“Habitat hidupan laut juga akan terkesan dengan hakisan pantai ini yang boleh mengancam spesies berkaitan. Spesies seperti ikan, burung dan krustasea akan menjadi pupus sekali gus menyebabkan rantaian makanan berkurangan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pada masa sama, hakisan pantai juga boleh menyebabkan peningkatan sedimen yang mampu mencemarkan air dan merosakkan terumbu karang. Kepupusan batu karang akibat pemutihan turut mengancam habitat laut dan rantai makanan mereka.

“Peningkatan sedimen itu akan menyebabkan perubahan muara sungai, pencemaran sumber air dan mengganggu ekosistem akuatik selain mengganggu kadar penembusan cahaya matahari dan organisma bentik,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan ne­geri-negeri Pantai Timur semakin hilang kawasan daratannya apabila garis pantai di Terengganu, Pahang dan Kelantan mengalami hakisan sejauh 175 kilo­meter (km) sepanjang tahun lalu.

Jarak hakisan itu melibatkan 49 lokasi dengan Terengganu paling banyak terjejas iaitu 34 kawasan sejauh 66.09 km diikuti Pahang (11 kawasan sejauh 100 km) dan Kelantan empat kawasan (9.2 km).

Data itu adalah berdasarkan pemantauan serta kajian dilakukan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) ketiga-tiga negeri.

Situasi itu bukan sahaja menyebabkan penyusutan kawasan daratan tetapi menjejaskan keindahan pesisir pantai sebagai lokasi pelancongan, penempatan penduduk dan aktiviti ekonomi.

Mengulas lanjut, Mohd. Yusaimi berkata, hakisan pantai juga menyebabkan saiz daratan semakin mengecil dan memberi kesan kepada peningkatan risiko banjir.

Jelasnya, ia akan mewujudkan konflik penggunaan tanah seperti kawasan pertanian, taman rekreasi, penempatan pembangunan dan ekonomi masyarakat tempatan.
“Dari sudut ekonomi pula, hakisan pantai akan menyebabkan hilang tarikan semula jadi yang akan memberi kesan kepada aktiviti pelancongan dan merugikan negara.

“Bagi nelayan pula, sektor perikanan juga terjejas kerana perubahan ekosistem serta habitat akuatik. Ini menyebabkan hasil tangkapan mereka berkurangan dan sumber protein yang murah semakin berkurangan

“Infrastruktur juga akan terancam seperti jalan raya runtuh, jambatan tidak selamat, stesen air yang berubah fungsi sekali gus menyebabkan kos yang tinggi untuk baiki dan pemeliharaan aset,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×