PONTIAN: Penyertaan kali pertama dalam Kejohanan Pushbike Dunia (RSC Runbike World 2025) di Fuji, Jepun yang berakhir kelmarin tetap membanggakan bagi Nur Addawiyah Husna Mohammad Amirul walaupun dia hanya menduduki tempat keempat.
Menurut bapanya, Mohammad Amirul Mohammed Ali, 34, anaknya yang berusia dua tahun bersaing dengan 13 peserta di peringkat akhir termasuk seorang lagi wakil negara dalam kejohanan tersebut.
Katanya, selaku pengiring kepada Nur Addawiyah Husna atau gelarannya Cun Cuna, anaknya bersaing dalam kategori dua tahun dengan pusingan akhir selepas melepasi semua saringan di peringkat kelayakan yang diadakan sebelum itu.
“Sebagai ayah, saya tetap berbangga dengan pencapaiannya kerana bukan mudah untuk sampai ke tahap sekarang kerana memerlukan persediaan, komitmen dan dana yang banyak.”
“Untuk ke sini (Jepun) saya membelanjakan kos sebanyak RM10,000 ribu termasuk tiket penerbangan dan penginapan bermula 17 Januari lalu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambah Mohammad Amirul, cuaca sejuk dengan suhu enam darjah Celcius juga antara cabaran perlu dihadapi lebih-lebih lagi dalam keadaan yang tidak berapa sihat akibat batuk berkahak.
“Namun ia tidak mematahkan semangat Cun Cuna untuk terus berlumba (mengayuh) sehingga ke garisan penamat,” ujarnya yang bekerja sebagai Pembantu Penguatkuasa di Majlis Bandar Raya Johor Bahru (MBJB )
Dia yang tinggal di Kampung Batu 26, Pekan Nanas di sini berkata, walaupun Cun Cuna tidak menjadi juara, dia tetap berbangga melihat anaknya bertanding dengan pelumba terbaik dari seluruh dunia.
Katanya, pencapaian Cun Cuna sedikit sebanyak menebus kehampaan abangnya, Mohammad Firas Amsyar yang gagal di Kejohanan Dunia Strider Cup pada tahun 2023 lalu akibat terjatuh di pusingan akhir.
Mohammad Amirul berkata, kejayaan Cun Cuna membuktikan anak kelahiran Pontian, Johor ini mampu mencipta nama di persada antarabangsa pada usia muda.-UTUSAN











