Chung Soo Kiong Pengarah Urusan baharu Sunway Property - Utusan Malaysia

Chung Soo Kiong Pengarah Urusan baharu Sunway Property

CHUNG Soo Kiong sebagai Pengarah Urusan baharu Sunway Property.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sunway Property, cabang hartanah Sunway Group melantik Chung Soo Kiong sebagai Pengarah Urusan baharu, menggantikan Datin Paduka Sarena Cheah.

Beliau membawa lebih daripada 20 tahun pengalaman luas dalam pembangunan hartanah dan perniagaan pembinaan di dalam Sunway Group.

Menurut kenyataan, Soo Kiong sebelum ini berkhidmat sebagai Pengarah Urusan Sunway Property untuk bahagian Antarabangsa, di mana beliau mengetuai projek serantau dan projek utama di Singapura, China, dan pasaran lain.

“Sebagai Pengarah Urusan Sunway Property yang baharu, Soo Kiong kini akan memimpin keseluruhan bahagian hartanah, merangkumi operasi domestik dan antarabangsa.

“Dalam peranan yang diperluaskan ini, Soo Kiong akan disokong oleh Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Property (Wilayah Tengah & Utara), Chong Sau Min, dan Sunway Property & Facilities Management (SPFM), serta Ketua Pegawai Eksekutif Sunway City Iskandar Puteri Gerard Soosay,” katanya.

Sementara itu, Soo Kiong berkata, beliau berharap dapat menyampaikan penyelesaian inovatif dan mampan yang bukan sahaja memenuhi tetapi melampaui jangkaan komuniti dan pemegang kepentingan kumpulan.

“Ini berdasarkan asas kukuh yang telah dibina oleh Serena dan pasukan hebat,” katanya.

Sarena, yang sebelum ini memegang jawatan ini, kini menyandang peranan baharu sebagai Timbalan Pengerusi Eksekutif Sunway Group pada 2 Januari 2025.

Sarena akan memberi tumpuan kepada pengembangan jejak antarabangsa kumpulan dan terus memantau pembangunan Sunway City Iskandar Puteri menjadi sebuah bandar bertaraf dunia yang menarik pelaburan global dan mempromosikan pelancongan serantau.

Mengulas mengenai peranan baharunya, Sarena Cheah berkata, ia merupakan satu keistimewaan untuk menerajui Sunway Property dan menyumbang kepada perjalanan cemerlangnya.

“Saya yakin di bawah kepimpinan Soo Kiong, bahagian ini akan mencapai kejayaan yang lebih besar.

“Dalam peranan baharu ini, saya akan terus berusaha untuk memajukan visi Sunway dalam membina masa depan yang mampan untuk generasi akan datang,” katanya.

Kumpulan itu turut mengalu-alukan pelantikan Datuk Mohd Anuar Bin Taib sebagai Timbalan Presiden Sunway Group pada hari yang sama.

Sebagai seorang pemimpin korporat berpengalaman, Anuar telah berkhidmat sebagai pengarah bebas bukan eksekutif dalam lembaga Sunway Berhad sejak Julai 2023.

Dalam peranan baharunya, beliau akan menyelia bahagian perniagaan teras termasuk Sunway Property, Sunway Malls, dan Sunway Healthcare, antara lain. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×