Benteng pemecah ombak, pokok bakau alternatif kawal hakisan

Benteng pemecah ombak, pokok bakau alternatif kawal hakisan

PEMBINAAN benteng pemecah ombak dan penanaman pokok bakau berupaya mengawal masalah hakisan yang semakin kritikal di pesisir pantai negara khususnya di Terengganu. - MINGGUAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penanaman pokok bakau dan pembinaan benteng pemecah ombak (breakwaters) berupaya mengawal masalah hakisan yang semakin kritikal di pesisir pantai negara khususnya di Terengganu.

Pensyarah Fakulti Sains dan Bumi, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof. Dr. Aweng Eh Rak berkata, langkah tersebut merupakan mitigasi jangka panjang yang perlu diambil bagi mengelakkan gangguan terhadap struktur pantai sedia ada.

Katanya, gangguan yang berlaku pada satu kawasan boleh menjejaskan keseimbangan hidrologi dan hidraulik di kawasan lain sehingga menyebabkan kesan sampingan yang lebih buruk.

“Bagi mitigasi jangka pendek, pendekatan semula jadi (soft engineering) seperti penanaman pokok bakau boleh digunakan untuk mengurangkan impak hakisan.

“Pokok bakau berfungsi sebagai penghalang semula jadi yang boleh menyerap tenaga ombak dan mengurangkan risiko hakisan,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan, dalam tempoh 75 tahun akan datang, beberapa bandar di pinggir pantai seluruh negara ada kemungkinan akan lenyap akibat hakisan.

Mengulas lanjut, Aweng berkata, kaedah pembinaan struktur fizikal buatan manusia (hard engineering) juga diperlukan untuk melindungi pantai daripada hakisan dan kesan ombak.

Beliau berkata, penggunaan gabion, benteng penahan (retaining wall) atau struktur pelindung yang dibina di sepanjang garis pantai atau tebing (revetment) boleh mengurangkan kesan hakisan akibat ombak, gelombang atau aliran air.

Bagaimanapun, kaedah ini mempunyai kelemahan kerana ia hanya berkesan untuk tempoh tertentu dan memerlukan penyelenggaraan berkala kerana strukturnya boleh rosak akibat cuaca ekstrem atau hakisan yang berterusan.

“Gabion atau batu revetment adalah pilihan sesuai untuk menangani hakisan yang sudah serius, meskipun keberkesanannya terhad dalam jangka panjang.

“Pembinaan tembok penahan ombak (sea walls) dan pembinaan benteng pemecah ombak (breakwater) juga mengambil tempoh yang sangat panjang untuk disiapkan,” katanya.

Aweng berkata, hakisan pantai merupakan masalah yang sukar diselesaikan sepenuhnya dalam jangka masa pendek.

“Langkah perlindungan yang diambil di satu kawasan kadangkala memberi kesan negatif di kawasan lain kerana fenomena ini berkait rapat dengan prinsip aliran akhir (end-of-pipe).

“Ia disebabkan oleh gangguan pada satu kawasan boleh menyebabkan kesan lain di kawasan sekitarnya,” katanya.

Sementara itu, Pakar Meteorologi Universiti Malaya, Prof. Datuk Dr. Azizan Abu Samah berkata, hutan bakau adalah cara semula jadi yang paling berkesan untuk mengurangkan impak ombak dan melindungi pantai.

Katanya, alternatif lain seperti menambah pasir di kawasan pantai untuk membina semula pantai yang terhakis namun, fenomena hakisan pantai adalah kejadian semula jadi yang sukar dijangka dan dielakkan.

“Untuk sementara waktu, penggunaan beg pasir (sandbags) boleh diambil sebagai langkah lain untuk mengurangkan kesan hakisan.

“Namun, pembinaan benteng pemecah ombak memerlukan penggunaan berpuluh-puluh tan batu besar serta proses yang memakan masa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN