Kerajaan sedia teliti mekanisme kuota subsidi diesel di pedalaman Sabah - Amir Hamzah

Kerajaan sedia teliti mekanisme kuota subsidi diesel di pedalaman Sabah – Amir Hamzah

AMIR Hamzah Azizan ketika sidang media selepas menyempurnakan Program Mikro Kredit Turun Padang bertempat di Pasar Tamu Papar - UTUSAN/RAEESAH HANAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PAPAR: Kerajaan Persekutuan bersedia meneliti mekanisme yang bersesuaian bagi pelaksanaan kuota subsidi diesel di kawasan pedalaman, khususnya di negeri ini dengan kerjasama serta maklum balas daripada kerajaan Sabah.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kerajaan sentiasa terbuka menambah baik pelaksanaan subsidi diesel bersasar bagi memastikan bantuan itu sampai kepada golongan yang layak.

Menurut beliau, kerajaan memahami cabaran dihadapi penduduk pedalaman yang menggunakan kenderaan diesel sebagai pengangkutan utama, namun sebarang penambahbaikan perlu dibuat menerusi mekanisme yang tepat.

“Bukan sahaja di Sabah, tetapi di seluruh negara. Sekiranya ada mekanisme yang membenarkan, kita akan melihat perkara itu.

“Yang paling penting ialah kerjasama kerajaan negeri. Melalui maklum balas yang diterima daripada kerajaan negeri, kita boleh mengusahakan mekanisme yang sesuai untuk membantu mereka yang terkesan.

“Proses ini mungkin mengambil sedikit masa bagi memastikan mekanismenya betul, tetapi kita tetap akan mempertimbangkannya,” katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Program Mikro Kredit Turun Padang di Pasar Tamu Papar, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Manis merangkap Pengerusi Sabah Urban Development Corporation Sdn Bhd (SUDC), Datuk Pengiran Saifuddin Pengiran Tahir Petra; Pengerusi Bank Simpanan Nasional (BSN), Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin dan Pemangku Ketua Eksekutif BSN, Mujibburrahman Abd Rashid.

Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata, kenderaan diesel yang digunakan bagi tujuan perniagaan seperti mengangkut penumpang atau barangan boleh memohon kuota lebih tinggi menerusi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Katanya, penggunaan kad fleet membolehkan jumlah kuota diesel dinilai serta disesuaikan mengikut keperluan operasi sesebuah perniagaan.

“Bagi penggunaan persendirian, kuota asas ialah 200 liter dengan tambahan sehingga 100 liter melalui permohonan.

“Bagaimanapun, jika kenderaan itu digunakan sebagai pengangkutan utama penduduk seperti kereta sewa atau kereta tambang di kawasan pedalaman, ia boleh dikategorikan sebagai penggunaan perniagaan dan layak memohon SKDS,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan akan terus menilai setiap cadangan yang dikemukakan bagi memastikan pelaksanaan subsidi diesel bersasar memenuhi keperluan sebenar rakyat tanpa menjejaskan matlamat mengekang ketirisan subsidi.

Sementara itu, Amir Hamzah berkata, pelaksanaan subsidi diesel bersasar setakat ini berjalan lancar tanpa sebarang gangguan.

Katanya, sehingga semalam, lebih 220,000 pemilik kenderaan diesel di seluruh negara berjaya memperoleh peningkatan kuota daripada 200 liter kepada 300 liter.

Menurutnya, kerajaan turut memperluaskan kelayakan kepada pemilik kenderaan pacuan empat roda jenis pikap dan kenderaan utiliti sukan (SUV) berkuasa diesel berikutan penggunaannya yang tinggi bagi tujuan perniagaan dan pengangkutan.

“Kerajaan akan terus meneliti setiap maklum balas yang diterima supaya pelaksanaan subsidi diesel bersasar dapat ditambah baik dari semasa ke semasa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN