TELUK INTAN: Sebuah bangunan balai polis berusia lebih 100 tahun di Jalan Bandar di sini terbiar sehingga dinaiki semak menjadi rungutan masyarakat setempat yang mahu bangunan warisan itu dipulihara.
Tinjauan mendapati balai polis lama yang dikatakan dibina Residen British di Perak, Hugh Low pada tahun 1880-an terbiar dengan keadaan bahagian dalam dan sekeliling kawasan bangunan semak samun.
Dikatakan, pada asalnya, bangunan itu dibina sebagai bangunan pentadbiran Kastam yang mengurus tadbir bandar Teluk Anson setelah nama bandar Teluk Mak Intan ditukar kepada Teluk Anson pada tahun 1882.
Balai polis lama itu adalah antara bangunan yang masih utuh hingga hari ini apabila bandar Teluk Anson dirasmikan pada tahun 1882.
Pengerusi Persatuan Kontraktor Bumiputera Perak Daerah Hilir Perak, Jaafar Mohamed Noor berkata, penduduk dan pelancong kecewa melihat keadaan bangunan itu yang sudah berusia 142 tahun dalam keadaan sedemikian.
Menurutnya, sepatutnya bangunan itu boleh menjadi antara tarikan pelancong ke bandar ini.
Katanya, jika terus dibiarkan mungkin bangunan itu akan mengalami banyak kerosakan.
“Jika dibersihkan dan dijaga dengan baik, ramai pelancong dalam melihat warisan sejarah bernilai tinggi bandar ini,” katanya.
Peniaga Pasar Tani , Ramlan Abdul Manan, 51, berkata, keadaan bangunan sejarah itu sudah agak lama dalam keadaan terbiar dan tiada pihak yang membersihkan atau menjaganya. – UTUSAN











