JERANTUT: Bandar Jerantut yang sinonim dikenali sebagai ‘Bandar Taman Negara’ kini sepi tanpa kehadiran pelancong khususnya dari negara barat yang dikesan berkurangan sejak 15 tahun lalu.
Difahamkan, sebelum ini boleh dilihat pelancong asing sama ada lelaki atau wanita kelihatan berjalan kaki di setiap lorong Bandar Lama dan Bandar Baharu Jerantut, namun kini situasi sedemikian tiada lagi kelihatan.
Penduduk bandar Jerantut, Hairun Azmi berkata, situasi itu berlaku kerana pengusaha pelancongan dari Lembah Klang dan tempat lain membawa pelancong luar dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Cameron Highlands, Pulau Tioman terus ke Taman Negara Kuala Tahan tanpa singgah di bandar ini.
“Sebelum ini, saya melihat ramai ‘mat saleh’ berjalan kaki di kawasan bandar ini mencari hotel, bank, kedai dan bersiar-siar mengambil gambar tempat menarik, tetapi kini tiada lagi kelihatan kelibat mereka di sini.
“Kita berharap pihak berwajib dapat menyusun program lawatan pelancong luar seperti Eropah, Scandinavian, Asia dan ASEAN singgah ke bandar ini sebelum berkunjung ke Taman Negara Kuala Tahan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Menurut Hairun, daerah ini mempunyai pakej lawatan menarik yang tercatat dalam peta pelancongan antarabangsa seperti Gua Bersejarah Kota Gelanggi, Pulau Tawar dan Ulu Cheka termasuk makanan tempatan yang boleh ditonjolkan kepada pelancong asing termasuk pelawat domestik.
Seorang penduduk, Ahmad Azhari berkata, pihak berwajib perlu mengadakan kerjasama dengan pengusaha pelancong di Lembah Klang dan Taman Negara Kuala Tahan dengan mengatur lawatan sehari ke bandar Jerantut dan tempat-tempat menarik di daerah ini.
“Sejak 15 tahun lalu, bandar ini sudah jarang dilawati pelancong negara luar, cuma sekali-sekala kelihatan dalam jumlah yang kecil singgah di bandar lama Jerantut sebelum bertolak ke Taman Negara dengan van dan bas persiaran,” katanya.
Ujarnya, bilik penginapan hotel di bandar ini cuma didiami sebilangan kecil pelawat domestik dan tidak nampak kelibat pelancong luar yang menginap di situ.











