KOTA KINABALU: Seorang anggota polis didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas kesalahan menerima wang suapan RM1,800 bagi membebaskan individu yang terlibat dalam pengedaran dadah.
Tertuduh, Zakaria Mohd. Jasni yang berpangkat Sarjan itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah semasa pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Jason Juga.
Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu didakwa menerima wang suapan RM1,800 yang dimasukkan ke dalam akaun miliknya pada 18 Jun 2021 di sebuah bank di Putatan sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan ke atas pengedaran dadah yang dijalankan oleh seorang individu di Kudat di mana tertuduh pada masa itu bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kudat.
Anggota polis tersebut didakwa melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) Akta yang sama. Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin dengan bayaran RM10,000 dan deposit RM3,000 serta seorang penjamin tempatan. – UTUSAN










