Andalusia tawar diskaun sehingga RM3,000 untuk bakal jemaah

Andalusia tawar diskaun sehingga RM3,000 untuk bakal jemaah haji

Mohd Na’im Mokhtar menyampaikan plak penghargaan kepada Pengarah dan Penasihat Undang-Undang Andalusia, Ida Riswana Idris pada Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan Ketiga (KHUP 3) di Movenpick Hotel & Convention Centre KLIA, semalam. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Andalusia Travel and Tours Sdn. Bhd. (Andalusia) menawarkan diskaun istimewa sehingga RM3,000 kepada bakal jemaah haji terpilih bagi tahun 2025 bersempena penganjuran Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan Ketiga (KHUP 3) selama tiga hari bermula semalam.

Pengarah dan Penasihat Undang-Undang Andalusia, Ida Riswana Idris berkata, sebanyak empat pakej ditawarkan oleh Andalusia kepada bakal jemaah haji iaitu pakej Marsa, Malak, Olayan dan Safwah dengan harga bermula daripada RM43,990 sehingga RM102,990.

Jelasnya, sepanjang berlangsungnya karnival itu, Andalusia menyasarkan pendaftaran seramai 500 bakal jemaah.

“KHUP sudah pun masuk tahun ketiga penganjuran oleh Lembaga Tabung Haji (TH) bersama Bumitra (Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia) dan seperti biasa semua 37 pengelola jemaah haji (PJH) akan menawarkan pakej mereka masing-masing.

“Jadi, kepada bakal jemaah yang mendapat tawaran haji dan mendaftar sepanjang karnival ini berlangsung, mereka akan diberikan diskaun terbaik. Andalusia menawarkan diskaun sehingga RM3,000 untuk pakej haji bagi bakal jemaah terpilih,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Movenpick Hotel Convention Centre di sini semalam.

Sebanyak empat pakej ditawarkan oleh Andalusia kepada bakal jemaah haji iaitu pakej Marsa, Malak, Olayan dan Safwah dengan harga bermula daripada RM43,990 sehingga RM102,990.

Harga pakej haji yang ditawarkan adalah termasuk bayaran haji PJH 1446H/2025M sebanyak RM19,786 yang akan didebitkan dari akaun TH jemaah haji.

Ida Riswana berkata, Andalusia turut menjanjikan bimbingan yang mantap kepada bakal jemaah sebelum berangkat ke Tanah Suci, selain tenaga pengurusan yang cekap serta para pembimbing bertauliah.

“Setakat ini Andalusia satu-satunya yang menawarkan pakej haji di mana jemaah akan terus masuk ke Mekah dengan hotel berdekatan dengan Masjidil Haram, tidak terus masuk ke Aziziyah.

“Jadi setiap tahun disebabkan Andalusia mempunyai hotel yang kita pajak selama setahun, maka jemaah tidak perlu khuatir. Apabila tiba di Mekah, mereka akan ditempatkan di hotel yang tidak sampai 400 meter, di mana mereka mudah untuk mengerjakan ibadah, boleh tawaf sunat setiap hari kerana jarak penginapan yang dekat,” ujarnya.

Justeru, beliau mengalu-alukan kedatangan orang ramai ke KHUP 3 untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai pakej-pakej yang ditawarkan.

“Bukan mereka yang dapat tawaran haji sahaja boleh datang tetapi mereka yang ingin mendapatkan pakej umrah atau melancong amat dialu-alukan ke karnival ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Andalusia, Datuk Md. Daud Che Ngah berkata, dengan adanya penganjuran karnival seperti ini, pengunjung boleh membuat pilihan berdasarkan tawaran yang disediakan oleh kesemua PJH.

“Saya rasa ini adalah satu pertandingan yang sangat sihat kerana jumlah semua PJH pada tahun ini telah bertambah kepada 37, sebelum ini 25 PJH sahaja. Dengan pilihan yang bertambah ini, bakal jemaah boleh memilih siapa yang mereka yakin,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN