HULU TERENGGANU: Limpahan air Tasik Kenyir di Pengkalan Gawi, di sini ketika ini tidak menjejaskan aktiviti pelancongan terutama perkhidmatan bot laju dan penginapan.
Pengerusi Persatuan Bot Laju Tasik Kenyir, Mokhtar Abdul Rahman berkata, ia kejadian biasa di lokasi berkenaan disebabkan kenaikan paras air tasik setiap kali musim Monsun Timur Laut (MTL).
“Limpahan air kali ini berlaku sejak Disember lalu dan dijangka berlanjutan antara Mac hingga Mei ini bergantung pada kadar taburan hujan.
“Situasi air melimpah perkara normal di Pengkalan Gawi yang merupakan pintu masuk utama ke Tasik Kenyir. Sehingga hari ini, aktiviti pelancongan masih berjalan seperti biasa.
“Kita mempunyai kira-kira 40 pengusaha bot laju yang menawarkan perkhidmatan kepada pengunjung. Rumah-rumah bot juga masih beroperasi seperti biasa,” katanya ketika ditemui di Pengkalan Gawi, di sini.
Mokhtar berharap pelancong tidak panik atau bimbang dengan fenomena begitu kerana keadaan masih terkawal dan limpahan ketika ini juga tidak begitu ketara berbanding musim sebelum ini.
Katanya, walaupun kawasan meletak kereta utama jeti Pengkalan Gawi ditenggelami air, pengunjung masih mempunyai beberapa lokasi pilihan untuk meletakkan kenderaan masing-masing.
“Buat masa ini pengusaha bot laju dan rumah bot berlabuh di beberapa kawasan lain buat sementara namun ia tidaklah begitu menyukarkan pelancong.
“Jumlah pengunjung biasanya meningkat ketika musim cuti sekolah, namun suasana belum dilihat ketara memandangkan masih awal selain cuaca tidak menentu dan hujan,” katanya.-UTUSAN











