SEREMBAN: Tindakan sekumpulan warga asing menjaja makanan dan pakaian di kawasan larangan iaitu di tepi dan bahu jalan di Nilai sejak beberapa bulan lalu diambil tindakan penguatkuasaan oleh pihak Majlis Bandaraya Seremban (MBS), kelmarin.
Datuk Bandar MBS, Datuk Masri Razali berkata, operasi di Laman Universiti di sini mendapati penjaja telah beroperasi tanpa lesen sejak dua bulan lalu dan diuruskan oleh warga asing dan berniaga di kawasan larangan.
“Berikutan itu, kami mengeluarkan dua notis kompaun pemberitahuan kesalahan berniaga di kawasan larangan dan lima notis pemberitahuan barang sitaan di bawah Undang-Undang Kecil 3 Penjaja MBS (tanpa lesen) dan Seksyen 46 Akta Jalan Parit & Bangunan (halangan).
“Beberapa jenis barangan turut disita antaranya, bantal, khemah, kaki meja, ampaian baju, buah-buahan dan minuman,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Sementara itu, Masri berkata, operasi yang dijalankan kira-kira pukul 7 petang itu juga turut melibatkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sembilan.
“JIM Negeri Sembilan memaklumkan seramai sembilan warga asing telah diperiksa dan daripada jumlah itu, seramai lima warga asing ditahan atas kesalahan masuk ke negara ini tanpa pas atau permit yang sah selain tinggal lebih masa,” jelasnya.-UTUSAN









