NAMA Sharifah Husna semakin menonjol lebih-lebih lagi apabila pelakon tinggi lampai ini muncul dalam drama Berbahagi Suami yang ditayangkan di Astro Prima bermula 2 Disember lepas.
Penonton rata-ratanya bukan sahaja memuji keberkesanan lakonan anak kelahiran Selangor ini, malah kecantikan semula jadinya turut mencuri tumpuan.
Pelakon berusia 31 tahun ini bagaimanapun enggan melangkah dalam dunia lakonan dengan bersandarkan kepada kecantikan semata-mata.
Dia sedar, era ini, pelakon, selain memiliki rupa paras menarik, memerlukan kebolehan berlakon. Justeru, bekas juara pertandingan Gadis Panca MyBeauty 2018 ini menimba ilmu lakonan.
“Usah berharap kepada rupa yang cantik kerana yang diutamakan adalah bakat. Malah, penonton sekarang semakin bijak menilai.
“Saya tak mahu dilabel pelakon yang bersandarkan rupa paras semata-mata.
“Bidang yang saya ceburi pun adalah lakonan, bukan pertandingan ratu cantik. Yang diketengahkan adalah bakat lakonan, dalam keadaan apa sekalipun, kebolehan lakonan itu perlu diasah,” katanya yang ditemui semasa forum dan sidang media drama Berbahagi Suami baru-baru ini.
Kata Sharifah lagi, dia kurang bersetuju apabila ada pihak yang memukul rata, melabelkan penerbit tempatan hanya memandang rupa paras dalam memilih pelakon.
“Perkara itu subjektif. Berdasarkan pengamatan, saya mendapati ada juga pelakon yang cantik dan kacak tidak dipilih membintangi drama atau filem disebabkan mereka tak boleh berlakon.
“Hujung pangkal, kebolehan itu yang diutamakan kalau mahu jadi pelakon. Bukan sekadar nampak cantik dan kacak depan kamera,” kongsinya lagi.
TIMBA ILMU
Sambung Sharifah lagi, dia menganggap dirinya cukup bertuah kerana berpeluang berlakon dengan nama-nama besar dan berpengalaman dalam dunia lakonan.
Katanya, peluang itu dia manfaatkan sebaik-baiknya untuk memperbaiki kebolehan lakonan sedia ada.
“Saya cukup bernasib baik kerana berkesempatan bekerja dengan pelakon-pelakon yang hebat antaranya Nabila Huda dan Zulhuzaimy dan belajar dengan mereka teknik lakonan yang betul.
“Tapi, untuk menjadi pelakon yang lebih berkemahiran, saya tidaklah bergantung kepada peluang untuk bekerjasama dengan mereka sahaja.
“Saya usahakan sendiri dengan menyertai kelas-kelas lakonan yang dianjurkan pelakon-pelakon berpengalaman antaranya Datuk Fauziah Nawi.
“Demi menjadi pelakon berilmu, kita tak boleh berkira-kira dalam melaburkan wang untuk mengikuti kelas lakonan,” kongsinya lagi.
BERBAHAGI SUAMI
Apabila ditawarkan watak isteri kedua dalam drama arahan Uchee Fukada ini, Sharifah mengakui dia gemuruh.
Perkara itu disebabkan stereotaip negatif yang sering dikaitkan dengan watak-watak seumpama itu.
“Isteri kedua ini selalunya dibenci masyarakat kerana dianggap perampas dan perosak rumah tangga.
“Tetapi, watak Aishah yang saya lakonkan dalam drama ini mewakili wanita-wanita yang tak tahu pun mereka sebenarnya isteri kedua,”ujarnya.