BALIK PULAU: “Memang sentiasa teringatlah walaupun dah 20 tahun benda itu terjadi. Kadang-kadang trauma ini ‘mai balik’ (datang semula) apabila tengok ombak kuat dengan ‘ayaq’ (air) pasang.”
Itu kata Nornie Ismail, 46, ketika mengimbas tragedi serangan ‘ombak besar’ atau tsunami yang hampir meragut nyawa dia dan ahli keluarganya yang lain pada 26 Disember 2004 itu.
Jelas wanita tersebut, dia masih terngiang-ngiang suara orang menjerit meminta tolong dan suara meminta penduduk untuk lari menyelamatkan diri.

“Mula-mula, saya dengar orang di jeti jerit: ‘Lari, lari!’. Terus teringat kepada keluarga yang sedang berkelah. Sampai sana nampak ombak kuat masih ada. Mayat-mayat pun ada. Masa itu mata memang melilau sebab tengah cari keluarga.
“Tiba-tiba ternampak seorang makcik ini yang tersangkut dekat pokok minta tolong. Tapi, kakak saya larang saya ‘pi’ (pergi) situ sebab risau saya jadi mangsa. Masa itu jugalah nampak ahli keluarga saya semua sempat lari naik atas bukit dekat situ,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jelas Nornie yang kini mengusahakan kedai makan, tidak jauh dari rumahnya iaitu berhampiran Jeti Nelayan Pulau Betong, memori tsunami pastinya akan terus kekal dalam ingatannya selagi bernyawa.
Seorang lagi mangsa tsunami, A. Suppiah, 75, berkata, seboleh mungkin dia tidak mahu mengenang peristiwa pahit tersebut.
“Saya bersyukur kerana kami sekeluarga terselamat dan anak saya, S. Thulaashi, 20, yang digelar ‘bayi ajaib’ tsunami juga telah meningkat dewasa.
“Dia (Thulaashi) juga sedang belajar di Universiti Sains Malaysia (USM) dalam bidang perakaunan dan mahu mengejar cita-citanya untuk menjadi seorang akauntan,” katanya yang sentiasa memberi sokongan kepada anaknya itu. – UTUSAN











