Rancangan hotel baharu Pulau Pinang perlu berperingkat

Rancangan hotel baharu Pulau Pinang perlu berperingkat

PENINGKATAN pelancong ke Pulau Pinang memerlukan perancangan pembangunan hotel baharu.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Pembangunan hotel baharu di Pulau Pinang perlu dilakukan secara berperingkat bagi mengelakkan berlakunya lebihan kapasiti sehingga boleh menjejaskan kadar penginapan ketika ini.

Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Pulau Pinang, Tony Goh berkata, perkara itu mengambil kira Pulau Pinang bakal menyaksikan pertambahan lebih 4,000 bilik hotel baharu dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Menurut beliau, pertambahan itu melibatkan pembukaan 25 buah hotel baharu yang dijangka mampu menampung permintaan pelancongan dalam negeri ini secara progresif.

“Jumlah bilik hotel di negeri ini akan meningkat daripada 16,000 bilik pada masa ini kepada lebih 20,000 menjelang tahun 2027. 

“Oleh itu, kami berharap kerajaan negeri dapat memastikan pembangunan hotel dirancang secara berfasa kerana langkah ini mampu mengekalkan kestabilan industri pelancongan Pulau Pinang, sekali gus memastikan negeri ini terus menjadi destinasi pilihan pelancong,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Terdahulu, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dilaporkan berkata, Pulau Pinang masih kekurangan bilik hotel untuk menampung jumlah kemasukan pelancong asing dan domestik yang semakin bertambah, khususnya ketika musim perayaan dan ketika penganjuran acara besar di negeri itu.

Mengulas lanjut, Goh berkata, pada masa ini, kadar purata penginapan hotel adalah antara 60 hingga 80 peratus setiap bulan di mana hanya pada musim cuti sekolah dan perayaan, kadar itu boleh mencecah sehingga 100 peratus, namun, pada waktu biasa, ia akan turun semula. 

“Justeru, jika bilik hotel bertambah terlalu banyak tanpa berlakunya peningkatan ketibaan pelancong, kadar penginapan akan terjejas,” katanya.

Jelas beliau, pertumbuhan jumlah hotel juga perlu disokong dengan promosi yang lebih giat, khususnya untuk menarik pelancong antarabangsa.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN