PN bergolak, Ahmad Samsuri letak jawatan?

PN bergolak, Ahmad Samsuri letak jawatan?

HASHIM JASIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Peletakan jawatan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mohktar sebagai Bendahari Agung Perikatan Nasional (PN) agak mengejutkan iaitu tidak sampai dua hari selepas Naib Presiden Pas itu dilantik mengisi jawatan tersebut.

Ia sekali gus menimbulkan persoalan adakah berlaku pergolakan di dalam gabungan tersebut berikutan kebanyakan jawatan tertinggi di dalam jawatankuasa PN tersebut diisi oleh pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ketika dihubungi Utusan Malaysia, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin memaklumkan beliau belum mendapat gambaran jelas mengenai situasi itu dan peletakan jawatan Ahmad Samsuri sebagai Bendahari PN. Bagaimanapun Hashim berkata, pelantikan jawatankuasa PN tersebut sepatutnya dilakukan dengan pertimbangan sewajarnya.

Katanya, terdapat juga cadangan sebelum ini untuk mengetengahkan Datuk Seri Takiyuddin Hassan sebagai Setiausaha Agung PN namun tidak dilantik mengisi jawatan itu.

“Saya ada dengar juga melalui media sosial (TikTok) dikuasai Bersatu jawatan tertinggi. Namun saya tidak mendapat maklumat jelas lagi. Esok (hari ini) saya ke Kuala Lumpur mesyuarat, semua pimpinan Pas ada dan di situ mungkin kita akan melihat perkembangan tersebut.

“Ya, kita ada juga cadangkan Takiyuddin jadi Setiausaha PN, walaupun ada kuasa (PN) wujudlah sikit pertimbangan apabila lantik. Saya tidak mahu ulas lagi kerana tidak dapat maklumat lengkap lagi mengenai perkara tersebut dan sebab Samsuri letak jawatan.

“Saya yakin pimpinan Pas akan buat keputusan terbaik berhubung sebarang perkara berbangkit itu,” katanya.

Majlis Tertinggi PN yang bermesyuarat pada 9 Disember lalu mengesahkan pelantikan enam jawatan penting yang kesemuanya kekal menjadi milik Bersatu.

Ia melibatkan pelantikan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Setiausaha Agung PN manakala jawatan Ketua Penerangan pula diisi Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu serta Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebagai Ketua Wanita.

Bersatu juga menamakan Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Timbalan Pengerusi PN manakala Datuk Dr. Mohd Radzi Md Jidin dan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee sebagai anggota Majlis Tertinggi (MT) PN selaras dengan keputusan pemilihan parti itu baru-baru ini.

Kelmarin, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, mengesahkan Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden parti itu telah mengemukakan peletakan jawatannya sebagai Bendahari Agung PN, namun tidak mengulas lanjut.

Dalam pada itu itu, Hashim berkata, perlu ada rundingan dan perbincangan berhubung sebarang pelantikan tersebut.

Mengulas isu sama, Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal meminta barisan kepemimpinan Pas supaya bersabar tidak ‘terlalu mengikut emosi’.

“Saya tidak boleh ulas panjang kerana saya bukan lagi Ketua Pemuda (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) dan tidak terlibat dalam Majlis Tertinggi PN. Saya tidak tahu punca beliau meletakkan jawatan, itu hanya antaranya dengan Pengerusi PN.

“Saya merayu pada rakan-rakan dalam Pas supaya bersabar dan jangan ‘marahkan nyamuk tetapi kelambu (pula) dibakar’. Itu sahaja pesanan saya,” katanya ditemui di Parlimen.

Pada masa sama, Ketua Wanita PN, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, beliau terkejut dengan peletakan jawatan Menteri Besar Terengganu itu.

Kata Mas Ermieyati, setakat ini beliau tidak mengetahui alasan peletakan jawatan Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden Pas.

“Sudah pasti saya terkejut, tapi yang lain saya tidak pasti (kerana) saya tidak tahu sebabnya, saya baru sahaja dilantik pada Isnin lalu. Jadi, tiada apa-apa maklumat (mengenai peletakan jawatan Ahmad Samsuri).

“Kena tanya pada (Pengerusi PN,) Tan Sri (Muhyiddin Yassin). Pada kali pertama mesyuarat malam itu memang (Ahmad Samsuri) tidak ada, beliau tidak hadir,” katanya kepada pemberita di Parlimen.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×