TAPAH: Penduduk pekan Tapah membantah perubahan sistem laluan kepada jalan sehala sepanjang jalan utama di pekan itu sejak 23 Ogos lalu kerana menyusahkan pengguna jalan.
Penduduk berkata, tujuan sistem laluan sehala itu ialah mengelakkan kesesakan kenderaan namun sejak dilaksanakan ia menjejaskan banyak pihak malah kesesakan lalu lintas tidak dapat diatasi.
Pengerusi Gabungan NGO-NGO dan Penduduk Tapah, Mohd. Hata Ali, 49, mendakwa sistem laluan sehala itu dilaksanakan pihak berkuasa hanya untuk mengurangkan kesesakan melibatkan sepanjang 200 meter laluan di jalan utama itu.
Katanya, sedangkan kesesakan trafik hanya berlaku pada waktu puncak tetapi ada polis trafik yang mengawalnya supaya trafik lancar dan terkawal.
“Kami membantah pelaksanaan laluan sehala ini. Sebanyak 13 NGO lain yang merangkumi peniaga, usahawan dan penduduk Tapah menggerakkan kempen tandatangan membantah pelaksanaan sistem sehala itu supaya dibatalkan atau ditambah baik secara berkesan.
“Setakat ini, kurang sebulan kami berjaya dapat lebih 5,000 tandatangan dan 99 peratus berharap agar ia dibatalkan terus.
“Malah ada yang tidak berpuas hati kerana semasa perayaan Deepavali baru-baru ini kesesakan jalan raya lebih buruk berbanding sebelum ini,” katanya.
Bagi Adam Ahmad Israf Ali, 42, laluan sehala itu tidak sesuai kerana menggunakan jalan perbandaran sebagai lencongan utama.
“Ini pelik kerana jalan perbandaran tidak boleh digunakan untuk laluan utama. Jalan menjadi cepat rosak dan mendap kerana dilalui treler kapasiti tinggi malah ada yang tidak lepas dan tersangkut selama berhari-hari,” katanya.
Seorang peniaga pakaian, Abdul Rashid Othman, 63, berkata, ramai peniaga di pekan itu terjejas perniagaan mereka sejak pelaksanaan jalan sehala itu.
Menurutnya, rata-rata keuntungan peniaga merosot teruk termasuk pengusaha stesen minyak, kedai serbaneka 24 jam, kedai runcit, restoran, warung, gerai termasuk peniaga pasar pagi dan pasar malam.
“Sistem laluan sehala ini menyebabkan kurangnya kawasan tempat meletak kenderaan sehingga menjejaskan kedatangan pelanggan.
“Sudah ada peniaga terutama berkaitan makanan menutup perniagaan mereka dan berpindah ke tempat lain.
“Peniaga yang masih bertahan merupakan peniaga lama dan tidak mahu Tapah itu menjadi pekan mati,” katanya. – UTUSAN










