Perkasa undang-undang pedofilia demi keselamatan kanak-kanak

Perkasa undang-undang pedofilia demi keselamatan kanak-kanak

PARLIMEN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 wajar dikaji semula bagi memastikan ia relevan dengan cabaran semasa serta mampu mengekang jenayah pedofilia yang kian meningkat.

Bekas Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Othman berkata, undang-undang sedia ada tidak boleh bersifat statik dan perlu dirombak mengikut perkembangan teknologi serta modus operandi penjenayah yang semakin kompleks.

“Dulu kita tidak menghadapi cabaran seperti video lucah kanak-kanak atau eksploitasi digital. Kini, dengan perubahan cara hidup dan teknologi, kelemahan undang-undang sedia ada menjadi lebih ketara.

“Maka, rombakan menyeluruh perlu dilakukan demi memastikan keselamatan kanak-kanak terjamin,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Semalam, akhbar ini melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) giat menyiasat kemungkinan 40,000 video dan gambar pornografi kanak-kanak serta dewasa yang ditemukan pada komputer milik 13 suspek yang ditahan, untuk dijual dalam media sosial atau sesawang gelap.

Dalam operasi bersepadu PDRM dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) itu, seramai 13 individu berusia 20 hingga 74 tahun ditahan menerusi serbuan terhadap 18 premis di Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Perak, Johor dan Terengganu.

Mengulas statistik terkini Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menunjukkan peningkatan kes pedofilia, Abu Talib berkata, penguatkuasaan undang-undang harus disertai dengan mekanisme pencegahan yang lebih komprehensif, termasuk pendidikan kepada masyarakat.

“Kerajaan mesti menyediakan peruntukan yang memastikan undang-undang ini tidak hanya adil kepada mangsa, tetapi juga memberi ruang pembelaan kepada tertuduh mengikut lunas perlembagaan.

“Dalam masa yang sama, tindakan tegas perlu diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan ini,” tegasnya.

Beliau turut menyarankan agar kerjasama erat antara agensi penguat kuasa seperti PDRM dan MCMC dipertingkatkan, khususnya dalam menangani jenayah pedofilia yang melibatkan platform dalam talian.

“Kita perlu memastikan bahawa undang-undang ini bukan sahaja relevan, tetapi cukup berkesan untuk mengekang aktiviti jenayah yang bertentangan dengan keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak,” tambahnya.

Abu Talib turut mengingatkan rombakan undang-undang ini mestilah dilakukan demi kepentingan rakyat dan bukan mana-mana pihak tertentu.

“Keselamatan kanak-kanak adalah tanggungjawab bersama. Jika undang-undang tidak lagi efektif, ia mesti dipinda untuk memastikan perlindungan yang menyeluruh kepada generasi muda negara ini,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN