JOHOR BAHRU: Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri ini menahan pengurus dan penyelia sebuah kilang kerana disyaki terbabit dalam kejadian pencemaran Sungai Buloh, di Pasir Gudang, semalam.
Pengarahnya, Mohd. Famey Yusoff berkata, kedua-duanya ditahan di bawah Seksyen 37C Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
“JAS Johor menjalankan siasatan selepas menerima aduan awam berkaitan pencemaran di Sungai Buloh, Pasir Gudang.
“Pemeriksaan dibuat mendapati terdapat efluen berwarna coklat daripada sistem pengolahan efluen premis berasaskan oleokimia di Kawasan Perindustrian Pasir Gudang yang gagal berfungsi.
“Selain penahanan dua individu berkenaan, premis tersebut turut diberikan notis Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) bertujuan menghentikan pencemaran,” katanya.
Mohd. Famey berkata, sampel efluen telah dibuat dan dihantar ke Jabatan Kimia di Petaling Jaya untuk dianalisis. – UTUSAN