WASHINGTON: Taufan Erin mula melanda pesisir North Carolina pada Rabu, memaksa ribuan penduduk dan pelancong musim panas meninggalkan kawasan pantai.
Kehadiran Erin sebagai taufan Kategori 2 mencetuskan arahan pemindahan wajib di Pulau Ocracoke dan Hatteras, manakala pihak berkuasa mengisytiharkan darurat lebih awal sebagai langkah berjaga-jaga.
Pusat Taufan Kebangsaan (NHC) mengesahkan Erin sedang bergerak ke arah utara pada kelajuan angin 175 kilometer per jam dan masih berpotensi untuk menguat semula sebagai taufan besar.
Saiznya yang luar biasa telah menyebabkan ia digelar “Enormous Erin” oleh pakar taufan, Michael Lowry.
“Erin sangat besar – anginnya menjangkau ratusan kilometer dari pusat. Kita bernasib baik ia tidak menghentam terus pantai,” kata Lowry.
Gelombang ombak setinggi enam meter dijangka membadai Lebuhraya 12 yang merentasi pulau-pulau rendah Outer Banks, menjadikan laluan utama itu mungkin tidak boleh dilalui.
Walaupun Erin tidak dijangka melanda daratan secara langsung, bahaya ombak besar dan arus deras di sepanjang pesisir timur AS – termasuk Bahamas, Bermuda dan Kanada Atlantik dijangka berterusan selama beberapa hari.
Gabenor North Carolina, Josh Stein, mengerahkan 200 anggota Pengawal Kebangsaan, pasukan penyelamat air deras, bot, kenderaan khas dan pesawat ke lokasi berisiko.
“Simpan bekalan makanan dan air untuk 5 hari. Lindungi dokumen penting seperti insurans. Kami tak mahu ulang tragedi Helene,” katanya, merujuk kepada Taufan Helene tahun lalu yang menyebabkan kerugian mencecah AS$60 bilion di negeri itu.
Stein turut menyelar kerajaan Persekutuan atas kelemahan bantuan semasa krisis lalu di bawah pentadbiran bekas Presiden Donald Trump, yang pernah menyuarakan hasrat membubarkan FEMA, agensi utama pengurusan bencana AS.










