GEORGE TOWN: Kos Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Mutiara yang kini mencecah RM17 bilion dikenal pasti sebagai berpunca daripada penambahan skop serta perluasan laluan sehingga ke Butterworth.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, angka itu bagaimanapun tidak boleh dibandingkan dengan pengumuman dua tahun lalu kerana projek berkenaan telah melalui proses pengubahsuaian selepas diambil alih oleh Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp).
“Peningkatan kos adalah disebabkan oleh penambahan skop yang melibatkan ‘cross-channel’ sambungan dari Macallum ke Penang Central dan melibatkan juga kos-kos pengambilan tanah,” katanya selepas merasmikan Pusat Kanser Icon Sunsuria dan Hospital Island di sini, hari ini.
Sebelum ini, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengumumkan had bajet bagi projek LRT Laluan Mutiara berbeza daripada RM10 bilion yang sebelum ini diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2024 kerana angka terdahulu itu hanyalah unjuran awal yang tidak mengambil kira latihan pengurusan nilai dan penilaian nilai.
Fasa pertama projek ini membabitkan jajaran sepanjang 24 kilometer (km) dari Komtar di George Town ke Pulau A di bawah projek Penang South Island, dengan 19 stesen dan kerja-kerja sokongan. Laluan Mutiara ini akan merangkumi 29.5 km dengan 21 stesen dari Pulau Silikon ke Komtar dan merentasi ke Penang Sentral di Butterworth.
Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, Kerajaan Persekutuan telah menetapkan harga siling projek bagi memastikan perbelanjaan tidak melepasi jumlah yang diumumkan.
“Bagi pihak kerajaan, kita mahu memastikan kos itu tidak melepasi siling yang ditetapkan. Konsep value engineering digunakan bagi menurunkan kos projek dan bukannya menaikkan nilai,” katanya.
Tambah beliau, antara penyumbang terbesar kepada kos ialah pengambilan tanah, khususnya tanah milik kerajaan negeri.
Namun, katanya, hasil rundingan bersama Kerajaan Persekutuan telah dipersetujui bahawa tanah negeri yang terlibat dalam projek baharu akan diambil pada kadar nominal.
Jelasnya, proses rundingan berkaitan tanah kini sedang berjalan dan akan dimuktamadkan sebelum projek diserahkan sepenuhnya kepada kontraktor. – UTUSAN










