PASIR PUTEH: Penduduk Kampung Alor Pasir, Gaal di sini mengambil inisiatif sendiri mengumpul wang berjumlah RM5,000 bagi membaiki jalan utama yang rosak akibat lubang benam berhampiran jambatan bagi mengelakkan risiko kepada orang ramai.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Mukim Wakaf Raja, Tengku Harith Tengku Aziz berkata, pihaknya bimbang jika langkah segera tidak diambil berkemungkinan besar jalan tersebut mengalami kerosakan lebih teruk kerana musim tengkujuh belum berakhir.
“Bimbang dengan keadaan itu, kami mengambil inisiatif mengumpul sumbangan bersama-sama penduduk untuk membaik pulih kerosakan ini dengan segera supaya tidak bertambah teruk.
“Saya tidak mahu kejadian tidak diingini berlaku kerana jalan ini adalah laluan utama penduduk berulang-alik ke kawasan bandar,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, semalam.
Tengku Harith berkata, hasil kerjasama penduduk termasuk anggota JPKKP Mukim Gong Nangka, kerja-kerja membaik pulih laluan itu diselesaikan dalam tempoh dua jam.
Katanya, kerja-kerja baik pulih itu dilakukan secara bergotong-royong dalam suasana yang penuh muafakat.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada penyumbang perkhidmatan jentera jengkaut, lori dan batu serta sumbangan menurap jalan. Alhamdulillah, laluan ini sudah selamat untuk digunakan,” ujarnya.
Sebelum ini lubang benam berhampiran jambatan itu berpunca banjir yang melanda kawasan tersebut, baru-baru ini.-UTUSAN











