PETALING JAYA: Selepas empat bulan tamatnya konsesi Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom), kerajaan perlu menetapkan senarai syarikat berkelayakan bagi menjalankan pemeriksaan berkala kenderaan motor dengan kadar segera.
Ia selepas kebenaran kerajaan kepada syarikat-syarikat berkaitan untuk membuat permohonan menjalankan tugas berkenaan yang sebelum ini dipertanggungjawab kepada Puspakom.
Pengasas dan Ahli Gabungan Persatuan Lori serta Bas, Hari Md. Ali berkata, langkah tersebut penting bagi memastikan pemeriksaan kenderaan dilaksanakan lebih telus dan mengelakkan berlakunya unsur monopoli secara berterusan.
Malah katanya, dengan ketibaan tahun baharu nanti, pemilik kenderaan perdagangan dapat membuat pilihan dan memudahkan urusan pemeriksaan tanpa berkompromi soal keselamatan.
“Setakat ini pemeriksaan kenderaan masih dilaksanakan di Puspakom dan kami tidak tahu syarikat atau mana-mana pihak yang diberi lesen untuk membuat pemeriksaan.
“Jadi kami berharap kerajaan dapat membuat penetapan segera kepada syarikat yang diberi kebenaran tersebut untuk memudahkan urusan kami, sekali gus mengelakkan monopoli atau ketirisan,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke sebelum ini berkata, Puspakom tidak lagi menjadi penyedia pemeriksaan berkala kenderaan motor tunggal berkuat kuasa 1 September 2024.
Hari berkata, kerajaan perlu memastikan sebarang perubahan dasar dan ketetapan undang-undang yang dibuat melibatkan pemilik serta pemandu lori.
“Ada ketetapan yang dibuat kerajaan sebelum ini tetapi ia memang tidak masuk akal,” katanya.-UTUSAN










