MELAKA: “Tidak sangka permohonan maaf, bersalaman dan pelukan mesra abang dua bulan lalu merupakan petanda dia akan pergi selamanya”.
Itu luahan Noorismail Khamid, 50, iaitu adik kepada pemandu bas persiaran, Noorisnien Khamid (gambar kecil), 56, yang maut dalam nahas membabitkan lima kenderaan di Kilometer 204 Lebuhraya Utara Selatan (Plus) arah utara berhampiran Simpang Ampat dekat sini, malam semalam.
Katanya, Noorisnien mula menunjukkan perubahan sikap sejak kali terakhir mereka bertemu Oktober lalu.
“Ketika saya bertemu abang di majlis kenduri kahwin, dia kelihatan beremosi seperti hendak menangis ketika bersalaman sambil memeluk dan meminta maaf. Saya rasa pelik sebab abang memang seorang yang mesra tetapi dia tidak pernah menunjukkan sikap sedemikian.
“Walaupun tidak sedap hati tetapi saya tidak pernah bertanya mengapa dia bersikap begitu. Akhirnya semua terjawab apabila itu petanda abang akan pergi selamanya,” katanya ketika ditemui di Unit Perubatan Forensik Hospital Melaka, semalam.
Tambah Noorismail, abangnya tidak memaklumkan menerima tawaran membawa bas persiaran seperti kebiasaan menyebabkan dia terkejut apabila mengetahui berita kemalangan tragis itu.
Sementara itu, anak sulung Allahyarham, Mohamad Norzuhairi Noorisnien, 33, berkata, ayahnya ada membuat permintaan agar hartanya diuruskan oleh anak-anak, bulan lalu.
“Ayah tidak mempunyai sakit kronik selain darah tinggi. Apabila ayah membuat permintaan tersebut membuatkan kami adik-beradik terkejut. Ayah turut menyerahkan motosikal kesayangannya kepada saya. Itu kata-kata terakhir dia yang mahu mewariskan hartanya kepada anak-anak,” ujarnya. – UTUSAN










