PETALING JAYA: Pelan penstrukturan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) tidak pernah dihentikan, sebaliknya diperhalusi untuk menangani cabaran semasa dan peluang yang muncul selaras dengan situasi pasaran terkini.
LTAT dalam satu kenyataan berkata, pelan penstrukturan baharu itu dilaksanakan bagi menangani isu kestabilan kewangan, mengurus liabiliti, mempelbagaikan pelaburan dan membina portfolio yang kompetitif serta mampan demi kepentingan semua pemegang taruh.
LTAT dalam masa yang sama turut menegaskan bahawa inisiatif pelupusan aset adalah langkah strategik, bukannya penyelesaian jangka pendek.
“Pendekatan ini bertujuan mengurangkan kebergantungan berlebihan terhadap pelaburan dalam Boustead-Affin dan selaras dengan cadangan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang menggesa LTAT untuk mempelbagaikan portfolio.
“Ia juga langkah mengimbangi semula portfolio pelaburan, menangani kebergantungan berlebihan dan pengurusan Liabiliti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
LTAT juga menegaskan bahawa semua transaksi yang dilakukan adalah sejajar dengan kepentingan strategik negara seperti digariskan dalam Kerangka Ekonomi MADANI.
Menjelaskan mengenai dua transaksi yang dirujuk, LTAT menegaskan bahawa ia serta syarikat kumpulannya tidak memiliki sebarang tanah di Batu Kawan.
“Kenyataan mengenai pelupusan tanah ini adalah tidak benar dan mengelirukan,” katanya.
Sementara itu, mengenai transaksi Eco World Development Group Bhd. (EcoWorld), LTAT berkata, Boustead Properties (BProp) telah menjemput 19 syarikat, termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan firma swasta, untuk menyertai proses Notis Pelawaan Cadangan (RFP).
Katanya, daripada 10 syarikat yang menyatakan minat, hanya satu syarikat iaitu EcoWorld, syarikat milik majoriti bumiputera, telah mengemukakan cadangan setelah melalui proses tender yang ketat dan telus.
“EcoWorld, melalui syarikat usaha sama Mutiara Balau Sdn. Bhd. (MBSB), di mana BProp merupakan pemegang saham minoriti, telah dipilih selepas penilaian yang menyeluruh.
“Faktor utama dalam keputusan ini termasuk tawaran komersial kompetitif EcoWorld, cadangan pembangunan yang inovatif, kedudukan kewangan yang kukuh, dan rekod pencapaian yang terbukti di Malaysia serta pasaran antarabangsa,” katanya.
LTAT berkata, pelupusan tanah di Semenyih kepada MBSB bertujuan untuk memacu pertumbuhan kawasan pinggir bandar yang sedang berkembang, meningkatkan nilai, serta menyokong objektif Ekonomi MADANI.
Selain itu, katanya, hasil tunai daripada transaksi itu digunakan untuk membiayai program penanaman semula kelapa sawit oleh Boustead Plantation Bhd (BPlant), memastikan pemulihan tanah yang telah matang dan meningkatkan kecekapan operasi.
“Pendekatan strategik ini bukan sahaja akan mengukuhkan kelestarian jangka panjang syarikat, tetapi juga sejajar dengan keutamaan negara melalui pengoptimuman penggunaan tanah untuk pertumbuhan ekonomi.
“Berganding bersama GLC lain, sebarang transaksi korporat Kumpulan LTAT bertujuan menyokong pembangunan sektor strategik ekonomi utama, termasuk industri berimpak tinggi seperti semikonduktor dan tenaga boleh diperbaharui, yang menyumbang secara signifikan kepada kemajuan ekonomi Malaysia,” katanya.
LTAT berkata, pelan penstrukturan baharu itu bertujuan mengurangkan penumpuan asetnya dalam pelaburan Boustead-Affin kepada 35 peratus, berbanding sasaran 50 peratus dalam pelan sebelumnya.
Langkah itu, katanya, akan memberi penyelesaian jangka panjang yang lebih mampan terhadap cabaran portfolio LTAT, selaras dengan cadangan PAC. – UTUSAN