Mercedes-AMG GLA35 dari Pekan

Mercedes-AMG GLA35 dari Pekan: Paling mampu, tapi masih berbisa

SUV yang menampilkan gaya sporty.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AMG adalah singkatan kepada Aufrecht, Melcher and Großaspach.

Dalam tahun 1967, dua bekas jurutera Mercedes-Benz, Hans Werner Aufrecht dan Erhard Melcher mewujudkan sebuah bengkel berhampiran Stuttgart, Jerman untuk menghasilkan Mercedes-Benz dengan talaan agresif.

Perkataan Großaspach pula merujuk kepada bandar kelahiran Aufrecht

Ia cukup popular dan mula berkolaborasi secara rasmi dengan Mercedes-Benz sendiri pada tahun 1993 dengan model Mercedes-Benz C36 AMG.

Dalam tahun 1999, Mercedes-Benz membeli 51 peratus dari saham AMG tetapi pada 1 Januari 2005, Aufrecht menjual baki saham miliknya menjadikan AMG sebagai anak syarikat milik penuh Kumpulan Mercedes-Benz.

AMG terus menjadi varian yang didambakan oleh peminat jenama Jerman tersebut.

Mercedes-Benz kemudian memperkenalkan varian AMG Line, model dengan pakej aksesori berjenama AMG.

Prestasi masih sama, tetapi tampak sporty kerana penggunaan bodykit serta pelekat logo AMG yang menaikkan semangat.

Harga juga cuma mahal sedikit dari model-model biasa.

Kemudian kita ada Mercedes-AMG, model-model Mercedes-Benz dengan penambahan aksesori yang lebih agresif, ruang kabin yang juga lebih sporty serta paling penting, penambahan tenaga dari enjin, talaan sistem gantungan untuk pengendalian mantap serta harga yang jauh berbeza.

Contohnya, Mercedes-AMG GLA35 yang kita paparkan hari ini

Dipasang di Pekan, Pahang, GLA ini tidak sama seperti GLA250 AMG Line kerana ia mempunyai prestasi yang dinaik taraf dan paling penting, GLA35 ini hampir RM70,000 lebih mahal.

GLA35 menggunakan enjin M260 2.0L empat silinder turbo.

Perubahan tidak termaktub kepada perbezaan fizikal sahaja kerana GLA35 menggunakan enjin M260 2.0L empat silinder turbo dengan 306 PS dan 400 Nm, ditambah dengan motor elektrik 48-volt ‘starter-generator’ yang memberi tambahan 14 PS.

Transmisi ialah AMG Speedshift dengan 8-kelajuan serta sistem pacuan semua roda 4Matic untuk memberikan daya pecutan 0-100 kilometer/sejam (kmsj) dalam masa 5.2 saat dan halaju maksimum 250 kmsj (dibataskan)

Jika dibandingkan dengan Mercedes-Benz GLA250 AMG Line milik jiran anda pula, kereta beliau hanya mampu membuat pecutan yang sama dalam masa 6.8 saat dan halaju maksimum cuma 240 kmsj sahaja.

Lembab.

Prestasi pengendalian juga berbeza kerana GLA35 menggunakan sistem gantungan adaptif AMG Ride Control, membolehkan selekoh diambil dengan lebih meyakinkan.

Paling penting, ketibaan anda ke masjid akan diiringi oleh bunyi ekzos talaan AMG yang lebih keras, menandakan ini adalah model AMG sebenar, bukan dengan aksesori kosmetik khusus untuk anak-anak kecil.

Dari segi reka bentuk, GLA35 menampilkan bamper depan dan belakang yang berbeza, lengkap dengan liang kemasukan udara di setiap sisi. Liang-liang tersebut, walaupun secara realitinya palsu, menambahkan berahi visual yang cukup tinggi.

Lampu hadapan pula menggunakan sistem Multibeam LED projektor yang tidak terdapat pada model-model GLA lain di Malaysia.

Paling mengujakan adalah penggunaan gril Panamericana yang agresif untuk model ini, dilengkapkan lagi dengan roda aloi 20-inci dan dua corong ekzos di belakang.

Ruangan kabin masih kelihatan seperti sebuah GLA tetapi dengan perbezaan ketara. Stereng ialah dari AMG Performance dengan balutan kulit Nappa, dengan punat-punat rotari untuk kawalan pengendalian dan mod pemanduan AMG.

STERENG ialah dari AMG Performance dengan balutan kulit Nappa.

Tempat duduk sporty menggunakan kulit tiruan Artico serta fabrik Dinamica dan tali pinggang keledar warna merah ‘Manufaktur’ serta tempat pemijak birai pintu dengan logo AMG membezakan kabin ini dari GLA untuk orang-orang kebiasaan.

GLA35 juga mempunyai pendingin hawa dua zon dengan corong udara untuk penumpang belakang, kamera 360-darjah dan sistem audio Burmester dengan 12 pembesar suara 710 watt dari Burmester.

Skrin sentuh utama pula bersaiz 10.25 inci menerima sistem MBUX terkini dengan tetapan Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar.

Oh ya, jika anda menggunakan sistem navigasi Mercedes-Benz, anda boleh mengujakan diri anda sendiri dengan fungsi ‘augmented reality’ atau realiti terimbuh di mana imej video jalan raya sebenar dipaparkan di skrin utama dan ada anak panah untuk menunjukan laluan yang perlu anda pergi.

Di atas jalan raya, Mercedes-AMG GLA35 memang berbeza dari GLA250 kerana sistem gantungan yang lebih sporty dan nada ekzos yang lebih kuat. Ia tidak pula menjadikan pemanduan kurang selesa tetapi hanya sekadar untuk mengingatkan anda bahawa kenderaan ini mampu untuk memberikan pemanduan yang lebih jantan.

Penulis memandu GLA35 ini menggunakan laluan lebuh raya sejauh 30 km sebelum masuk ke jalan-jalan lama dari Kuala Pilah untuk ke Bandar Seri Jempol, Negeri Sembilan.

Jalan berliku dari Bahau ke Bandar Seri Jempol memang mencabar tetapi cukup menyeronokkan kerana prestasi GLA35 yang sesuai untuk golongan yang suka memandu.

Pedal gear di balik stereng memuaskan kehendak mereka yang gemar menukar nisbah gear dan sistem gantungan adaptif memberikan perbezaan ketara ketika bermain dengan selekoh tajam.

Pecutan tegar terasa bila keluar dari selekoh dan kerana ia menggunakan sistem pacuan empat roda 4Matic, kestabilan yang maksimum menjadikan kita mahu memburu lagi selekoh-selekoh tajam.

Percubaan untuk menerjah ke laluan offroad ringan ternyata gagal apabila GLA35 ini mengalami kesukaran mencari cengkaman di atas laluan batu batu kerikil. Beberapa kali, terasa sistem kawalan cengkaman (traction control) dan brek ABS menggigil-gigil dan bergegar di atas laluan berbatu itu, walaupun dalam kelajuan yang cukup rendah.

Ternyata, ini ialah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang khusus untuk jalan raya berturap sahaja dan di sana, ia cukup cemerlang.

Sememangnya kawalan elektronik membuatkan kenderaan lebih selamat untuk dikawal tetapi dalam kenderaan AMG seperti GLA35 ini, ia meningkatkan lagi prestasi dan kepuasan pemanduan.

Sayangnya, seperti mana-mana kenderaan lain, tambahan tenaga itu akan mula rasa tidak mencukupi selepas setahun atau dua tahun kerana pemandu sudah mula mahir.

Bila waktu itu sampai, jangan risau kerana untuk tambahan RM176,000, Mercedes-Benz Malaysia boleh mengimport masuk GLA45 S dengan 421 PS, 500 NM, 0-100 kmsj dalam masa 4.3 saat dan halaju maksimum 270 kmsj. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN