MUKADIMAH
MENJELANG Muktamar Tahunan Pas kali ke-68 yang dijadualkan berlangsung di Kedah, September depan, seluruh kepemimpinan parti dilihat istiqamah mahu Tan Sri Abdul Hadi Awang dikekalkan sebagai Presiden.
Asaklah mana-mana pemimpin Pas, tiada jawapan lain yang diberikan melainkan berpegang kepada prinsip ‘wala’ dan kesepakatan dalam jemaah. Setakat ini, tiada usul daripada mana-mana negeri mahupun akar umbi yang mencabar kedudukan Ahli Parlimen Marang itu sebagai Presiden.
Menghuraikan perkara itu kepada wartawan Utusan Malaysia, HASIF IDRIS, Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki menjelaskan dua jawatan tertinggi perlu dikekalkan dalam kalangan ulama.
Pas belum bersedia menerima golongan profesional untuk menjadi Presiden?
Bagi dua jawatan tertinggi iaitu Presiden dan Timbalan Presiden, amalan yang diterima dan diwarisi oleh ahli-ahli Pas, mereka hendaklah daripada kalangan ulama atau sekurang-kurangnya berlatar belakangkan Pengajian Islam.
Sekiranya seorang pemimpin profesional yang kemudian melanjutkan pengajiannya dalam bidang pengajian Islam, maka beliau juga boleh diterima memegang dua jawatan tertinggi tersebut.
Malah, sekarang ini, ramai golongan ulama Pas yang menambah kemahiran mereka dalam bidang profesional. Saya yakin di masa hadapan, ramai ahli Pas yang menguasai kedua-dua bidang, ulama dan profesional.
Sudah tiba masa Timbalan Presiden, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man diangkat sebagai Presiden?
Selagi mana Tuan Guru (Abdul Hadi) mempunyai keupayaan untuk memimpin Pas, saya yakin Tuan Ibrahim akan menjadi pembantu beliau yang kuat.
Akan tiba masa bersesuaian peralihan itu akan berlaku. Ahli-ahli Pas menyerahkan kepada kebijaksanaan kedua-dua pemimpin tertinggi Pas untuk menentukan bilakah masanya akan tiba.
Pengaruh Abdul Hadi menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16)?
Tuan Guru mempunyai peranan dan pengaruh yang besar untuk memimpin Pas menghadapi PRU16 akan datang. Keputusan yang dibuat oleh Presiden Pas, hakikatnya bukan keputusan individu tetapi keputusan yang dibuat secara kolektif.
Jadi, tanggungjawab untuk menghadapi PRU16 bukan hanya dipikul oleh Presiden Pas seorang tetapi organisasi Pas bermula daripada Majlis Syura Ulama, Jawatankuasa Kerja Pas Pusat sehingga peringkat akar umbi Pas.
Siapa pemimpin Pas layak dicalonkan Perdana Menteri, jika menang PRU16?
Buat masa ini, belum ada keputusan daripada Pas khususnya badan pemutus tertinggi, Majlis Syura Ulama yang Pas mahu mengambil posisi Perdana Menteri.
Bagaimanapun, seperti keputusan sebelum ini, Pas berhasrat untuk bersama-sama dengan Perikatan Nasional (PN) dan parti-parti lain membentuk kerajaan.
Pas boleh menerima untuk dilantik sebagai menteri-menteri, manakala untuk dilantik sebagai Perdana Menteri, setakat ini belum ada keputusan tuntas oleh Pas. Apabila keputusan itu pun belum ada, maka calon daripada Pas juga belum ada.
Siapa ‘poster boy’ Pas untuk PRU16?
Pas tidak mempunyai budaya menetapkan siapa ‘poster boy’ dalam PRU. Setakat ini, apa yang Pas ketengahkan ialah dasar dan penyelesaian Islam yang dibawa oleh parti. Dasar dan penyelesaian itu lebih membuka mata para pengundi berbanding ‘poster boy’. – UTUSAN










