Pas akui ‘serangan’ pembangkang lemah

Pas akui ‘serangan’ pembangkang lemah

KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pas mengakui ‘serangan’ pembangkang terhadap kerajaan dalam beberapa isu berbangkit khususnya membabitkan keperluan dan kos sara hidup rakyat, tidak cukup kuat.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Khairil Nizam Khirudin berkata, ini kerana pihaknya terpaksa menggunakan media sosial bagi menjelaskan isu-isu berkenaan berikutan tindakan kerajaan yang didakwa menyekat kebebasan bersuara pembangkang.

Bagaimanapun, kata beliau, Pas dan Perikatan Nasional (PN) masih mempunyai sokongan organik daripada masyarakat, sekali gus pihaknya yakin media sosial berkesan dalam menjelaskan sesuatu isu yang dibawa.

RUANG

“Saya akui memang benar dan ‘serangan’ pembangkang terhadap kerajaan agak lemah. Rakyat memang akan nampak pembangkang lemah apabila tidak ada sidang Parlimen. Kami tidak ada ruang bila bukan waktu bersidang, media pun takut hendak lontarkan suara kami.

“Dulu keluar masuk stesen televisyen memang tidak dise­kat pun, sekarang mereka tidak boleh panggil kami sesuka hati untuk membuat liputan. Apa yang dikatakan dengan kebebasan media? Akhirnya kita pergi kepada organik menerusi media sosial sahaja,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Terdapat beberapa isu dibangkitkan pembangkang dengan mempersoalkan tindakan kerajaan seperti isu beras putih tempatan yang sukar diperoleh, tiada mekanisme oleh kerajaan untuk menghalang warga asing membeli barang subsidi seperti minyak peket, peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang dan banyak lagi.

Keadaan itu tidak sama seper­ti ketika Pakatan Harapan (PH) menjadi pembangkang apabila pelbagai perhimpunan dan demonstrasi dianjurkan bagi menyuarakan bantahan terhadap dasar kerajaan ketika itu.

SIMBOL

Demonstrasi PH turut mendapat sokongan pelbagai lapisan masyarakat yang menjadikan perhimpunan mereka simbol penentangan terhadap ketidakadilan dan tuntutan reformasi dalam sistem pentadbiran negara.

Mengulas lanjut, Khairil Nizam berkata, pihaknya kini sedang mengadakan beberapa libat urus dengan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dan hubungan itu perlu terus diperkukuh bagi memperoleh sokongan daripada akar umbi keseluruhannya.

“Saya hendak tanya, kalau be­tul PH berkuasa, kenapa kalah sewaktu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan terpaksa membentuk kerajaan dengan parti lain? Sekarang ini rakyat mahu lihat tentang keberkesanan yang kita buat. Contohnya kita turun ke kawasan dan bantu rakyat di sana.

“Pembangkang yang dulu, mereka membuat provokatif tetapi dalam PN, saya tidak nampak tindakan provokatif menjadi keutamaan kita sehingga hendak baring atas jalan, pasang khemah di Dataran Merdeka, minta hapus pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tetapi sekarang senyap.

“Kita tidak ikut cara itu. Kita lebih kepada keberkesanan se­perti yang Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin sebut, biar kita menjadi pembangkang yang dipercayai, bila kerajaan bentang sesuatu polisi, kita datangkan polisi yang lebih baik dan yang lebih penting adalah bagaimana hendak menjadikan isu ini lebih efektif kepada rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×