PARLIMEN: Kerajaan tidak boleh dedah sebarang transaksi membabitkan MAHB

PARLIMEN: Kerajaan tidak boleh dedah sebarang transaksi membabitkan MAHB

AMIR HAMZAH AZIZAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak boleh mendedahkan sebarang transaksi membabitkan pengambilalihan dan penswastaan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) kerana terikat dengan prinsip kerahsiaan komersial.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, secara prinsipnya tawaran pengambilalihan dan penswastaan MAHB merupakan satu urusan transaksi komersial yang dikemukakan oleh sebuah konsortium yang diterajui oleh dua pemegang saham sedia ada.

Kata beliau, dua pemegang saham MAHB ketika ini adalah Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Jelasnya, sekiranya tawaran tersebut diterima dan dipersetujui oleh para pemegang saham MAHB yang lain maka pemilikannya oleh konsortium berkenaan adalah berdasarkan pecahan seperti Khazanah (40 peratus), KWSP (30 peratus) dan Abu Dhabi Investment Authority (ADIA) serta Global Infrastructure Partners (GIP) pula 30 peratus.

“Memandangkan ia merupakan perjanjian yang melibatkan empat pihak swasta, ia tertakluk kepada prinsip kerahsiaan komersial seperti kelaziman dalam sebarang transaksi yang bersifat sedemikian.

“Namun, kerajaan telah meneliti butiran berhubung pengambilalihan MAHB yang dibentangkan oleh konsortium berkenaan dan berpuas hati dengan segala perincian yang dikemukakan.

“Perlu juga ditegaskan bahawa pihak Kerajaan akan mengekalkan saham khasnya dalam MAHB,” katanya di dalam jawapan bertulis bagi jawab lisan, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan dari Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) yang memintanya untuk menyatakan sama ada kerajaan bersedia memberikan dan mendedahkan kepada Parlimen sesalinan perjanjian pemegang saham antara tiga pihak yang berhasrat untuk menswastakan MAHB.

Dalam pada itu, Amir Hamzah menegaskan bahawa kerajaan tidak akan ada kompromi dalam isu keselamatan negara meskipun setelah pengambilalihan ini dimuktamadkan.

Katanya, apa yang lebih penting, sekiranya atau setelah tawaran ini dipersetujui oleh para pemegang sahamnya, MAHB masih tertakluk kepada terma dan syarat yang terkandung dalam Perjanjian Pengoperasian sedia ada yang telah ditandatangani oleh mereka bersama pihak kerajaan.

“Ini akan memastikan tiada sebarang perubahan kepada tanggungjawab dan bidang tugas MAHB sedia ada,” jelasnya.

Beliau berkata, Khazanah dan KWSP melihat wujudnya satu keperluan yang mendesak untuk operasi MAHB ditambahbaik dan pelaburan dibuat secara lebih pantas.

Jelasnya, ia perlu mengambil kira unjuran peningkatan trafik penumpang dan keadaan infrastruktur semasa yang tidak dapat menampung jumlah masa kini serta keperluan masa hadapan Malaysia.

“Ini kerana, rangkaian lapangan terbang yang kukuh dan diuruskan dengan baik akan meningkatkan dan merangsang pertumbuhan perdagangan, perniagaan serta pelancongan di Malaysia.

“Ia juga bagi memenuhi agenda Madani dan pelbagai dasar ekonomi kerajaan seperti National Industrial Masterplan (NIMP) 2030, National Semiconductor Strategy (NSS) serta Malaysia Aerospace Industry Blueprint (MAIB) 2030,” katanya.

Tambahnya, usaha untuk menyelenggara dan menaik taraf infrastruktur lapangan terbang, meningkatkan tahap perkhidmatan penumpang serta menambah baik kesalinghubungan syarikat penerbangan dapat menggalakkan peningkatan trafik penumpang dan meningkatkan jumlah pelancong.

“Ini sekaligus memberi impak positif yang berpanjangan kepada rakyat,” jelasnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN