Demi TTMM, saya ambil kelas vokal dan tarian - Cik B - Utusan Malaysia

Demi TTMM, saya ambil kelas vokal dan tarian – Cik B

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Demi memastikan penampilan terbaik di pentas realiti Talk To My Manager (TTMM) musim kedua, personaliti media sosial, Cik B mengambil langkah drastik termasuk mengubah gaya hidup serta meningkatkan kemahiran diri.

Anak kepada usahawan terkenal, Datuk Seri Vida itu berkata, antara perubahan paling ketara dilakukan adalah berpindah dari Ipoh ke Kuala Lumpur bagi memberi fokus sepenuhnya kepada persediaan pertandingan.

Menurutnya, suasana ibu kota yang lebih meriah dan strategik menjadi pendorong untuk lebih berdisiplin selain memudahkan urusan latihan harian.

“Sekarang ini saya menetap di tengah Kuala Lumpur. Setiap kali buka pintu, terus nampak KLCC, memang sangat cantik dan beri semangat,” katanya.

Dalam usaha mempersiapkan diri, Cik B turut mengikuti pelbagai kelas termasuk vokal dan tarian bagi meningkatkan keyakinan di atas pentas.

“Saya sertai kelas vokal bersama Cikgu Syafi, selain kelas koreografi dan tarian. Pada mulanya saya tidak berapa berminat, tetapi ibu yang galakkan untuk saya cuba,” ujarnya.

Selain memperbaiki bakat seni, beliau juga memberi perhatian terhadap kesihatan diri dengan mengamalkan rutin senaman secara konsisten di gimnasium.

“Alhamdulillah, berat badan saya sudah turun 15 kilogram walaupun mungkin belum nampak sangat. Sebelum ini lebih berisi.

“Sekarang sudah ada sedikit ‘jawline’. Beri saya masa enam bulan, saya akan pastikan perubahan lebih ketara,” katanya.

TTMM musim kedua bakal menyaksikan persaingan sengit melibatkan beberapa gandingan menarik termasuk Adira & Anggrek, Ani Maiyuni & Viviana, Datuk A. Aida & Azeva serta Dato’ Fazley & Fariedz Fazley.

Turut mencuri perhatian ialah penyertaan pasangan Datuk Seri Vida & Cik B, selain Jamilulhayat & Hussain, Linda Jasmine & Ratu, Nana Mahazan & Althea, Pak Azad & Amarra serta Safura & Kim Khairii.

Program tersebut sekali lagi menampilkan pengacara berkaliber, Datuk Aznil Hj Nawawi, bersama barisan juri tetap Che Puan Sarimah Ibrahim dan Dato’ AC Mizal yang akan menilai persembahan peserta.

Talk To My Manager musim kedua dijadualkan bersiaran mulai 19 April 2026, pukul 9 malam secara langsung di Astro Ria (saluran 104).

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN