Pendekatan antirasuah SPRM melalui drama

Pendekatan antirasuah SPRM melalui drama

PENAMPILAN khas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM), Tan Sri Azam Baki dalam terbitan Video Korporat Baharu 2026.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerbitkan Video Korporat Baharu 2026 dengan membawa pendekatan konsep drama dalam menyampaikan mesej antirasuah kepada masyarakat.

Menurut SPRM, video berkenaan turut diluncurkan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki sempena Majlis Malam Anugerah Media SPRM Kali Keenam 2025, semalam.

“Menariknya, penerbitan video ini menampilkan kelainan apabila Tan Sri Azam Baki sendiri memegang watak utama bersama barisan pegawai kanan SPRM.

“Ia sekali gus memberikan pendekatan lebih dekat dan mudah difahami dalam menyampaikan mesej integriti kepada khalayak,” katanya.

Dalam Video Korporat Baharu 2026 SPRM, masyarakat dapat melihat penceritaan ketelusan SPRM dalam memerangi dan membanteras isu penyelewengan serta aktiviti rasuah dalam negara.

Penghasilan video berdurasi penuh 13 minit tersebut turut dilengkapkan dengan sarikata Bahasa Inggeris untuk memperluas capaian tontonan antarabangsa.

“Penerbitan Video Korporat Baharu SPRM 2026 diharapkan akan menjadi medium efektif dalam menampilkan wajah baharu suruhanjaya itu kepada rakyat dan dunia.

“Selain memperkukuh keyakinan awam, SPRM juga akan menunjukkan komitmen berterusan dalam memerangi rasuah dalam negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN