‘Nikmati umur sebelum dikuburkan, masa muda hanya sekali’

‘Nikmati umur sebelum dikuburkan, masa muda hanya sekali’

MAZLAN Abu Hassan dan isterinya, Noriza Saad yang terkorban dalam kemalangan jalan raya di Jalan Alor Pudak, Pendang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: “Nikmati umur sebelum dikuburkan. Masa muda hanya sekali. Tua pun belum tentu jadi.”

Demikian status terakhir seorang daripada tiga mangsa yang maut, Muhammad Aidil Awang Saidin, 14, dalam kemalangan ngeri membabitkan tiga kenderaan di Jalan Alor Pudak di sini pada pukul 11.20 malam semalam.

Kembarnya, Muhammad Adam, 14, berkata, arwah memuat naik status itu dalam media sosialnya beberapa jam sebelum kemalangan yang turut mengorbankan pasangan suami isteri, Mazlan Abu Hassan, 52, dan Noriza Saad, 34.

“Arwah tidak pernah tulis kata-kata macam itu sebelum ini jadi kami sekeluarga ingatkan perkara biasa sahaja. Apabila sudah jadi macam ini barulah sedar.

“Ketika kejadian saya dan arwah keluar untuk basuh baju di sebuah kedai dobi berdekatan tempat kejadian. Arwah tunggang motosikalnya jauh di hadapan meninggalkan saya, jadi saya tidak nampak macam mana nahas berlaku,” katanya ketika ditemui di pekarangan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, semalam.

Menurut ibu Muhammad Aidil, Sharifah Othman, 52, walaupun reda dengan kejadian tersebut, dia sedikit terkilan kerana tidak sempat menunaikan permintaan anak bongsunya yang sedang mengumpul wang untuk membeli telefon baharu dengan mengambil upah membantunya di kantin sekolah.

Dalam pada itu abang kepada Noriza, Kasuadinata Saad, 45, berkata, dia tidak menyangka kemalangan yang dilihatnya ketika melalui lokasi kejadian melibatkan adik kandungnya.

“Saya nampak mayat bergelimpangan bertutup. Saya terus memandu pulang ke rumah di Tanjung Musang tanpa rasa apa-apa. Dua jam kemudian dapat panggilan dimaklumkan arwah adik dan suaminya meninggal dunia dalam kemalangan di tempat itu,” katanya.

Menurutnya, ketika kejadian Mazlan dan Noriza dalam perjalanan pulang ke rumah setelah menghadiri majlis kenduri rakan mereka di Gurun.

“Orang bercerita nasi kenduri dan bunga telur bertaburan di lokasi kejadian, saya jadi sayu. Arwah meninggalkan empat anak termasuk sepasang kembar perempuan berusia setahun lebih. Saya akan memikul tanggungjawab menjaga mereka nanti,” ujarnya.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Pendang, Superintenden Rodzi Abu Hassan berkata, ketiga-tiga mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu kereta terbabit yang bergerak dari Ayer Hitam menghala ke Sungai Tiang.

“Apabila tiba di tempat kejadian remaja tersebut yang menunggang motosikal memotong di sebelah kanan jalan dan bertembung dengan motosikal yang dinaiki suami isteri itu dari arah bertentangan.

“Akibat pelanggaran, suami isteri tercampak ke lorong kanan dan dilanggar oleh kereta berkenaan. Kesemua penunggang dan pembonceng disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu kereta tidak cedera,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN