KUANTAN: Perikatan Nasional (PN) perlu memastikan kemenangan terlebih dahulu sebelum memikirkan siapakah yang layak menyandang jawatan menteri besar sekiranya gabungan itu menawan Pahang, Perak dan Selangor pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Pas bersikap terbuka melakukan rundingan bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkaitan pemilihan itu.
“Kita terbuka… ini tiada isu. Sebagai ketua pembangkang, kita bergerak atas tiket PN. Apa-apa hal kita bincang melalui perundingan, perancangan.
“Apa yang penting kita menang dulu. Kalau kita bincang gerak kerja menangkan dulu, baru kita bahas siapa. Ini dduuk bahas siapa, untung siapa nak bagi, lembu kambing pun tiada lagi.
“Jadi saya fikir perkasa parti dan benda-benda macam itu, kita boleh bincang sebab PN apa-apa pun keputusan kita bersama. Kita bincang,” katanya ketika ditemui di Wisma Sri Pahang, di sini semalam.
Beliau yakin Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sentiasa positif apabila bercakap soal masa hadapan gabungan parti berkenaan.
“Tan Sri (Muhyiddin) pun positif bila kita sebut tentang soal masa hadapan, siapa pemimpin perdana menteri dan sebagainya.
“Beliau terbuka untuk berbincang dan tiada isu, Insya-Allah. Di Pahang pun sama. “Kalau ada pandangan-pandangan peribadi, saya anggap iu pandangan bukan rasmi daripada partilah,” ujarnya lagi.
Terdahulu Muhyiddin dilaporkan berkata bahawa partinya kini menyasarkan jawatan menteri besar di Pahang, Perak, dan Selangor jika menang dalam PRU16. – UTUSAN










