PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melengkapkan siasatan kes mayat bayi lelaki ‘disimpan’ dalam peti sejuk di sebuah hospital swasta di Klang, kerana ibu bapanya tidak menjelaskan bayaran bil rawatan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, bagaimanapun, kertas siasatan belum dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya (DPP).
“Kita masih menunggu beberapa laporan dan dokumen daripada pihak hospital. Ia membabitkan laporan berkaitan kematian bayi terbabit serta rekod penyimpanan mayat bayi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.
Sabtu lalu, media melaporkan seramai 14 individu dipanggil untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan kes terbabit.
Hussien dilaporkan berkata, kesemua saksi yang diambil keterangan membabitkan ibu bapa bayi terbabit, doktor dan petugas hospital tersebut.
Beliau dilapor berkata, pihaknya juga turut merakam keterangan sukarelawan yang menguruskan jenazah bayi itu selain saksi-saksi awam.
Sebelum ini tular di media sosial seorang bayi lelaki yang dilahirkan tidak sempurna dan didakwa dihina oleh pihak pengurusan sebuah hospital swasta.
Bayi berkenaan didakwa disimpan selama dua minggu di dalam peti beku, selain ibu bayi ditahan pihak hospital kerana tidak membayar kos rawatan.-UTUSAN









