KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini membenarkan permohonan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi mendapatkan pasport sementara untuk ke United Kingdom (UK) bagi tujuan rawatan kanser.
Hakim Azura Alwi membenarkan Muhyiddin selepas peguamnya Datuk Hisyam Teh Poh Teik memaklumkan anak guamnya memohon untuk mendapatkan sementara pasportnya yang berada dalam simpanan mahkamah bermula pada hari ini sehingga 14 Januari 2025.
Terdahulu, Hisyam memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya perlu mendapatkan pasport bagi berjumpa dengan pakar kanser di Platinum Medical Centre UK bagi mendapatkan nasihat perubatan mengenai keadaan dan kanser pankreasnya dan meluangkan masa bersama cucu-cucunya.
“Baru-baru ini, anak guam saya telah menjalani PET Scan (Positron Emission Tomography) dan dimaklumkan bahawa penanda tumor CA19-9 menunjukkan sedikit peningkatan melebihi paras normal dan ini sedikit sebanyak mendatangkan kekhuatiran kepada beliau.
“Anak guam saya telah membuat janji temu dengan Profesor Bruan Davidson yang merupakan seorang pakar bedah yang berkelayakan tinggi dalam bidang ini bagi mendapatkan nasihat rawatan dan pandangan kedua yang diperlukan dalam tempoh yang kritikal ini.
“Anak guam saya juga difahamkan cucu-cucunya berkemungkinan besar tidak akan pulang ke Malaysia tahun ini sehingga pertengahan tahun depan dan berharap untuk meluangkan masa bersama mereka ketika di sana nanti,” kata Hisyam.
Bagaimanapun, Timbalan-timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Jumaat, Noralis Mat dan Zander Lim Wai Keong membantah permohonan itu kerana alasan yang diberikan oleh pihak pembelaan adalah alasan yang tidak mendesak.
“Rawatan ini boleh dibuat di Malaysia dan di sini juga mempunyai pakar, perunding dan fasiliti yang cukup untuk merawat penyakit kanser. Tidak ada keperluan untuk pemohon dapatkan pandangan kedua dari pakar luar kerana penyakit ini bukan penyakit khas dan jarang-jarang berlaku. Pandangan kedua boleh didapatkan di negara ini sahaja,” kata Mahadi.
Mahkamah kemudian membenarkan Muhyiddin untuk mendapatkan pasportnya buat sementara waktu dan perlu mengembaikan pasportnya pada tarikh 14 Januari 2025.
Selain permohonan pasport, mahkamah juga menetapkan tarikh keputusan bagi menggabungkan tujuh pertuduhan untuk dibicara bersama pada 16 Januari 2025. – UTUSAN









