GEORGE TOWN: Dua laluan penerbangan ke Asia Barat dari Pulau Pinang yang melibatkan FlyDubai dan Qatar Airways terjejas susulan konflik di rantau berkenaan, namun keadaan itu tidak memberi kesan besar kepada sektor pelancongan negeri setakat ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang, Wong Hon Wai berkata, gangguan itu hanya melibatkan laluan ke Asia Barat, manakala penerbangan dari rantau lain termasuk Asia Tenggara, India dan China kekal beroperasi seperti biasa.
“Penerbangan FlyDubai dihentikan sementara manakala Qatar Airways kini dalam proses pemulihan secara berperingkat, khususnya bagi operasi kargo. Jadi, buat masa ini, hanya laluan Asia Barat sahaja yang terjejas,” katanya selepas menghadiri sesi padanan perniagaan industri pelancongan antara Qingdao dan Pulau Pinang di sini, hari ini.
Bagaimanpun katanya, industri pelancongan negeri masih mencatat perkembangan positif dengan penambahan laluan baharu dari China yang mengukuhkan lagi rangkaian udara Pulau Pinang.
Katanya, penerbangan sulung dari Qingdao telah tiba pada 31 Mac lalu, manakala laluan baharu dari Chongqing dijadual bermula 8 April ini, menjadikan kedua-dua bandar itu sebagai destinasi ketujuh dan kelapan dari China yang mempunyai hubungan udara terus dengan Pulau Pinang.
“Setakat ini juga, tiada penurunan ketara dalam jumlah penumpang direkodkan. Sebaliknya, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang kekal sibuk dengan peningkatan ketibaan susulan pertambahan laluan baharu,” katanya.
Dalam pada itu, Wong berkata pihaknya turut memanfaatkan situasi geopolitik di Asia Barat dengan menarik penganjur antarabangsa mempertimbangkan Pulau Pinang sebagai lokasi alternatif bagi acara perniagaan dan persidangan.
“Sebahagian acara MICE yang sebelum ini dirancang di Dubai kini sedang dipertimbangkan untuk dipindahkan ke Pulau Pinang,” katanya.
Katanya, kerajaan negeri akan menyertai forum Routes Asia 2026 di Xi’an, China bagi memperluas jaringan penerbangan baharu dan memperkukuh kedudukan Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan utama rantau ini.
Usaha berterusan itu penting bagi memastikan momentum pertumbuhan sektor pelancongan negeri terus kekal stabil dan berdaya saing dalam keadaan ketidaktentuan global semasa yang boleh mempengaruhi pergerakan penumpang antarabangsa. – UTUSAN










