KUBANG PASU: Jasad pengawal keselamatan, Ismail Hashim, 49, yang hanyut ketika memukat ikan di sungai Kampung Paya Parit Lateh di Jitra kelmarin, ditemukan kira-kira pukul 7.50 pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd. Bustan Karudin berkata, mangsa ditemukan tersangkut pada reba di tebing sungai, kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi terakhir dia dilihat.
“Jasad mangsa ditemukan dalam keadaan tertiarap setelah hampir 36 jam misi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan. Mangsa dibawa ke Hospital Jitra untuk proses selanjutnya,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, hari ini.
Dalam kejadian 7.15 petang kelmarin, mangsa yang sedang memukat ikan lemas ketika berenang menyeberangi sungai itu untuk merentangkan pukat, sambil disaksikan isteri, tiga anak serta bapa saudaranya.
Menurut anak mangsa, Muhammad Khairul Ikhwan Ismail, 20, kejadian itu langsung tidak diduga memandangkan ayahnya pandai berenang dan mereka juga sering hadir ke lokasi itu yang terletak hanya 500 meter dari rumah.
Sementara itu bapa saudara mangsa, Romli Bakar, 61, berkata, seluruh ahli keluarga bersyukur dengan penemuan jasad arwah setelah pelbagai usaha dijalankan termasuk dengan cara berdoa dan azan di lokasi kejadian.
“Setelah selesai segala urusan di hospital, jenazah akan dibawa ke Masjid Al Fateh, Tanjung Pauh dekat sini sebelum dikebumikan di Kampung Tanah Merah,” katanya.
Tambahnya, dia masih terkilan kerana gagal menyelamatkan Ismail walaupun kejadian tersebut berlaku di depan mata.
“Setelah menyedari Ismail lemas dan tenggelam, saya cuba terjun ke sungai untuk mencarinya. Saya bagaimanapun hanya mampu bertahan tak sampai lima minit, tidak jauh dari tebing sungai kerana arus terlalu deras dan membahayakan,” katanya.-UTUSAN










