GEORGE TOWN: Lebih 300 pelabur termasuk mereka yang berada di Singapura dan Indonesia mendakwa berdepan kerugian sehingga mencecah RM104.75 juta selepas ditipu sindiket skim pelaburan mata wang ‘forex’ rentas sempadan yang ditawarkan oleh sebuah syarikat.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, sindiket itu aktif antara tahun 2016 hingga 2023 dengan menggunakan syarikat berdaftar di Indonesia dan Labuan, Malaysia untuk mendapatkan lesen bagi mengutip dana daripada pelabur awam.
Katanya, pulangan keuntungan yang ditawarkan oleh sindiket tersebut pula adalah sebanyak satu hingga dua peratus sebulan, namun, pembayaran keuntungan berkenaan kepada pelabur telah terhenti sejak 2023.
“Pelaburan forex seperti ini menyalahi undang-undang di Malaysia kerana pelaburan forex awam hanya dibenarkan melalui institusi perbankan berlesen.
“Ketika ini, sebanyak 388 aduan diterima daripada pengadu-pengadu di Malaysia juga daripada Indonesia dan Singapura melibatkan kerugian sehingga RM104.75 juta.
“Kami juga yakin terdapat ramai lagi pelabur yang menjadi mangsa sindiket, namun mereka tidak berani tampil membuat laporan,” katanya dalam sidang akhbar di hadapan Bank Negara Malaysia (BNM) cawangan Pulau Pinang, di sini hari ini.
Terdahulu, Hishamuddin serta 50 pelabur yang terpedaya dengan sindiket pelaburan forex tersebut tampil membuat laporan berkaitan kes tersebut kepada pihak BNM.
Menurutnya, konsep dan modus operandi sindiket ini melibatkan broker yang didakwa adalah syarikat broker tempatan yang berpangkalan di Malaysia.
“Pelaburan tersebut dikatakan diuruskan oleh seorang warganegara Rusia yang dikatakan kononnya mempunyai kepakaran dan berpengalaman luas dalam jual beli mata wang Forex dan aktif dalam mempromosikan serta mengadakan kelas-kelas di Malaysia.
“Mangsa-mangsa berdepan kerugian berjumlah antara RM20,000 hingga lebih RM1 juta, mangsa juga berusia antara 20 hingga 80 tahun di mana ada yang bekerja sebagai penjawat awam, pegawai bank, peniaga dan juga pesara,” katanya yang menggesa pihak berkuasa terutama BNM mengambil tindakan kepada dalang sindiket yang dipercayai berada di negeri ini.
Dalam pada itu, seorang mangsa, Lee, 32, yang juga bertindak sebagai ejen memberitahu, dia sendiri mengalami kerugian besar selepas melabur hampir RM3 juta bersama pelabur lain yang berada di bawah seliaannya.
“Pada mulanya, pembayaran berjalan lancar tetapi sekitar 2023, semua pembayaran dihentikan secara tiba-tiba.
“Apabila kami cuba menghubungi pihak yang bertanggungjawab, mereka menyekat semua komunikasi dan mereka turut mengugut bahawa tidak membayar langsung pelaburan jika kami membuat aduan,” katanya.– UTUSAN