Perang Iran-Israel: Trump sokong gencatan senjata tetapi bergantung keadaan

Perang Iran-Israel: Trump sokong gencatan senjata tetapi bergantung keadaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Donald Trump memberi bayangan bersedia mempertimbangkan gencatan senjata dalam konflik udara selama seminggu antara Israel dan Iran, namun keputusan itu masih bergantung kepada situasi semasa.

Apabila ditanya wartawan sama ada beliau akan menyokong gencatan senjata sementara rundingan sedang berlangsung, Trump menjawab: “Saya mungkin akan sokong, bergantung kepada keadaan.”

Trump turut berkata, Eropah tidak akan mampu memberikan banyak bantuan dalam perang antara Iran dan Israel.

“Iran tidak mahu berbincang dengan Eropah. Mereka mahu berbincang dengan kami. Eropah tidak akan dapat membantu dalam hal ini,” katanya.

Semalam, Menteri Luar Iran bertemu dengan rakan sejawat dari Eropah di Geneva untuk mengadakan rundingan yang bertujuan membuka semula jalan diplomatik berhubung program nuklear Iran.

Menteri-menteri luar Eropah menggesa Teheran supaya berunding dengan Washington mengenai program tersebut, namun pertemuan itu berakhir tanpa sebarang kemajuan.

“Saya tidak akan bercakap mengenai tentera darat, kerana perkara terakhir yang anda mahukan ialah menghantar tentera,” kata Trump ketika ditanya sama ada pasukan darat diperlukan untuk menewaskan Iran.

Perang udara bermula pada 13 Jun lalu apabila Israel melancarkan serangan ke atas Iran, sekali gus mencetuskan kebimbangan di rantau yang sudah pun tegang sejak konflik di Gaza pada Oktober 2023.

Trump dan Rumah Putih memaklumkan keputusan mengenai campur tangan AS dalam perang tersebut hanya akan ditentukan dalam tempoh dua minggu lagi.

Trump terus membuat dunia tertanya-tanya mengenai rancangannya, apabila beliau sentiasa mengubah pendekatan antara penyelesaian diplomatik dan campur tangan ketenteraan.

Israel merupakan satu-satunya negara Asia Barat yang dipercayai memiliki senjata nuklear, dan mendakwa serangan ke atas Iran dilakukan bagi menghalang Teheran daripada membangunkan senjata nuklear sendiri.

Menurut Agensi Berita Hak Asasi Manusia, serangan Israel di Iran kini meragut 639 nyawa, sementara 24 kematian orang awam dilaporkan di Israel.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN