Rakaman percakapan aktivis haiwan akan diambil

Kes kematian kucing: Rakaman percakapan aktivis haiwan akan diambil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan membuka kertas siasatan berkaitan kes kematian kucing di kawasan Universiti Malaya (UM) di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, pihaknya juga turut menjalankan terhadap kenyataan seorang aktivis berkaitan kecederaan dialami kucing terbabit dan rakaman percakapan pihak berkenaan akan diambil pada Khamis ini.

“Satu kertas siasatan telah dibuka berhubung kes kematian kucing dan kenyataan yang dikeluarkan oleh aktivis haiwan seperti yang dilaporkan dalam media.

“Rakaman percakapan pihak berkenaan akan diambil pada Khamis ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu media melaporkan, aktivis haiwan, Shima Aris mendakwa kucing betina yang ditemukan mati di UM di sini dalam keadaan menyayat hati apabila empat kakinya seperti dipotong dan mempunyai luka besar pada badan dibunuh dengan menggunakan senjata tajam.

Perkara itu diperoleh hasil pemeriksaan terperinci dilakukan doktor veterinar di sebuah klinik veterinar swasta di sini yang turut melakukan ujian imbasan sinar-X ke atas kucing yang dinamakan Lily itu.

Sebelum ini, polis memaklumkan, pemeriksaan pihaknya menerusi kamera televisyen litar tertutup (CCTV) mendapati sekumpulan anjing liar bertindak menyerang beberapa ekor kucing di sebuah institusi pengajian tinggi tempatan sehingga menyebabkan kematian.

Hasil semakan bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar turut mengesahkan kecederaan yang dialami kucing-kucing tersebut adalah akibat serangan haiwan liar.

Setakat ini, polis menerima tiga laporan mengenai kejadian itu namun tiada saksi yang melihat insiden tersebut.

Justeru itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi bagi mengelakkan kegusaran dalam kalangan masyarakat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN