Kertas siasatan Papagomo tohmah PDRM dirujuk AGC

Kertas siasatan Papagomo tohmah PDRM dirujuk AGC

WAN MUHAMMAD AZRI WAN DERIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kertas siasatan membabitkan blogger Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali Papagomo berkaitan video tohmahan terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara (AGC), Jumaat lalu. 

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya telah melengkapkan kertas siasatan terhadap kes dakwaan fitnah terhadap pihak polis yang dimuat naik di Youtube blogger terbabit. 

“Kertas siasatan sudah dihantar kepada AGC pada Jumaat lalu untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Terdahulu, media melaporkan, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali Papagomo diambil keterangan berhubung video berbaur fitnah dan mengaibkan Ketua Polis Negara serta PDRM yang dimuat naik di Youtube.

Razarudin dilaporkan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil, Seksyen 500 dan 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sementara itu, ditanya mengenai siasatan terhadap Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung kenyataannya berkaitan isu Batu Puteh yang boleh menimbulkan kegusaran awam, beliau berkata, ia masih berjalan.

Jelasnya, pihak polis setakat ini masih belum merakam percakapan Abdul Hadi. 

“Kita masih menunggu masa temujanji daripada pihak beliau,” katanya.

Abdul Hadi sebelum ini didakwa memuat naik kenyataan berhubung isu Batu Puteh yang dimuat naik di laman X.

Pada 23 Mei 2008, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan Singapura mempunyai hak terhadap Batu Puteh manakala Batuan Tengah yang terletak tidak sampai satu kilometer dari pulau itu milik Malaysia.

ICJ turut memutuskan hak milik Tubir Selatan, kira-kira empat kilometer dari Batu Puteh, akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini