Kediaman rasmi MB Kedah dinaiki air satu meter

Kediaman rasmi MB Kedah dinaiki air satu meter

MUHAMMAD Sanusi Md Nor mengharung air untuk berpindah keluar dari kediaman rasminya yang dinaiki air di Seri Mentaloon, Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Paras banjir di kediaman rasmi Menteri Besar Kedah di Seri Mentaloon, di sini sudah mencecah satu meter sekaligus memaksa Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dan keluarga berpindah keluar.

Menurut Pegawai Khas Media Menteri Besar, Helmi Khalid, limpahan air Sungai Kedah yang terletak di belakang Seri Mentaloon semakin meningkat sejak tengah hari semalam. 

“Beliau sekeluarga telah berpindah ke tempat lebih selamat selepas situasi banjir di sekitar kediaman rasmi masih belum beransur pulih.

“Malah setakat petang semalam, paras air di Seri Mentaloon dianggarkan sudah mencecah kira-kira satu meter di kawasan tertentu,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini. 

Jumaat lalu, kediaman itu antara lokasi dinaiki air di negeri ini berikutan bencana banjir yang melanda.

Helmi berkata, air mula melimpah dari Sungai Kedah dan terlebih dahulu memasuki kuarters kakitangan yang terletak tidak jauh dari tebing sungai. 

Katanya, paras air kemudian terus meningkat hingga memasuki ruang tamu, dapur dan ruang makan kediaman rasmi yang ketika itu mencecah 0.5 meter.

Banjir di Seri Mentaloon bukan kali pertama berlaku kerana kejadian sama pernah terjadi dalam bah besar pada 2010 dan kali terakhir pada September lalu, namun keadaan tidak terjejas teruk. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN